BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

saya ada 2 soalan.
1) saya baru amalkan rukun qauli kerana baru sedar hukumnya setelah umur 15 tahun. namun demikian, saya rasa sebelum ini sudah pernah di ajar di sekolah rendah namun sebagai seorang seorang kanak-kanak saya tidak berapa menitik beratkan perkara tersebut dan tidak mengamalkan rukun qauli sebaiknya (kadang baca kuat kadang tidak) adakah perlu qada balik solat terdahulu?

2) pada umur 15 juga saya baru sedar bahawa keputihan itu merupakan najis dan perlu membersihkan diri sebelum solat. adakah saya perlu qada solat terdahulu?

terima kasih atas jawapan tuan/puan.


message user image

Jawapan  

 وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Di dalam solat terdapat 13 rukun yang wajib dilaksanakan. Rukun solat itu pula dibahagikan kepada 4 bahagian. Pertama ialah rukun qauli. Kedua ialah rukun fi’li. Ketiga ialah rukun qalbi iaitu niat dan akhir sekali adalah rukun maknawi iaitu tertib.Di antara rukun yang utama di dalam solat ialah rukun qauli. Ianya dinamakan sebagai rukun qauli disebabkan rukun-rukun ini wajib untuk dibaca oleh orang menunaikan solat yang sekurang-kurangnya bacaan tersebut didengari oleh telinganya sendiri. Rukun qauli ada 5 iaitu takbiratul ihram, bacaan Surah Al-Fatihah, bacaan tasyahhud akhir, selawat ke atas Nabi Muhammad pada tasyahhud akhir dan salam.

Kesemuanya rukun-rukun qauli ini perlu dibaca,disebutkan dan dilafazkan sehingga mengeluarkan suara sekadar bacaan yang boleh didengari oleh dirinya.

Merujuk kepada persoalan yang diajukan:

1) Oleh itu, solat yang terdahulu adalah dikira sah dan dimaafkan atas sebab kejahilan.

2) Sekiranya anda baru mengetahui bahawa keputihan itu adalah najis, maka solat-solat yang terdahulu tidak perlu di qada kerana ianya adalah sebab dari tiada pengetahuan yang jelas berkaitan perkara tersebut. Mohon keampunan dan bertaubat kepada Allah SWT agar segala ibadah yang lepas diterima oleh-Nya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 6

message user image