BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Hukum berzikir dengan zikir yang bukan dari al-Quran dan Assunnah? 


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Sebelum menjawab soalan yang dianjurkan, perlu dibezakan terlebih dahulu antara hukum berzikir dengan cara  yang bertentangan dengan al-Quran dan al-Sunnah dengan hukum berzikir dengan zikir yang lafaznya tiada dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Hukum berzikir dengan cara  yang bertentangan dengan al-Quran dan al-Sunnah sememangnya dilarang kerana secara jelas bertentangan dengan syarak. Contohnya berzikir dengan cara yang pelik untuk mendapatkan bantuan jin atau untuk kegunaan sihir. Sebahagian orang mungkin kelihatan berzikir seperti zikir-zikir yang masyhur. Tetapi cara pengamalan dan kaifiat berzikir mereka bersalahan dengan syarak kerana bertujuan untuk sihir atau mendapatkan bantuan jin. Perkara ini secara jelas adalah syirik. Mereka menggunakan zikir yang masyhur hanyalah untuk memperdaya orang lain.

Manakala hukum berzikir dengan zikir yang lafaznya tiada dalam al-Quran dan al-Sunnah adalah harus selagi mana maksudnya baik. Terdapat beberapa wirid mahupun zikir yang lafaznya tidak serupa seperti dalam al-Quran atau hadis. Tetapi maknanya baik dan boleh diamalkan. Ini kerana ia masih berlandaskan kepada al-Quran dan al-Sunnah serta galakan syarak supaya berzikir.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Azhab ayat 41:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.

Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 191:

ٱلَّذِينَ يَذْكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَٰمًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِى خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَٰطِلًا سُبْحَٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ 

Maksudnya: Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

Walau bagaimanapun, berzikir dengan zikir yang berasal dari Al-Quran dan sunnah adalah lebih utama.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

                                                                                                                           


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 5

message user image