Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan/puan
1) Apakah hukum main permainan video seperti genshin impact, honkai star rail, wuthering waves dll (yg ada sistem gacha, jalan cerita game)?. Ada dua cara iaitu sama ada bermain sambil menyelesaikan tugas untuk mendapat item untuk "gacha" dan menggunakan wang sebenar
2) Game tersebut juga mempunyai sistem "gacha" iaitu kalau 50/50 sama ada dapat karakter atau senjata kuat yang diinginkan. Ada juga sistem yang dimana karakter atau senjata yang diinginkan akan dijamin untuk dapat setelah pembelian. Jadi adakah hukumnya haram kerana boleh merugikan pembeli walaupun dah ada sistem yang dimana pemain akan dijaminkan karakter yang diingini tersebut?
3) Berkaitan nombor 1 ramai orang kata game tersebut haram sebab karakter yang dimainkan ada yang dikatakan sebagai "Fan service" (cth: Berdada besar, bergoyang ketika berjalan untuk karakater wanita tapi bagi karakter lelaki semua biasa pada umumnya) dan boleh mendatangkan syahwat. Adakah ia benar kerana tujuan saya bermain game tersebut kerana design dan kombo teknik karakter tersebut sangat juga disertai dengan desain dan efek yang cantik?
4) Kawan saya kata "situasi kau ni sama je cam buat bisnes nak kaya,tetapi ambik klien yang tak tutup aurat" yang buat saya terfikir adakah saya memang melakukan dosa tanpa disedari. Apa penyelesaian yang boleh dilakukan untuk situasi yang saya sedang alami?
5) Seterusnya apa dimaksudkan syahwat? Apa hukum melakukan syahwat?
6) Seterusnya game tersebut juga ada jalan cerita utama seperti aksi iaitu melawan raksasa ganas, menyelesaikan teka teki, misteri, dalang dibalik kekecohan. Banyak juga nilai murni seperti bekerjasama, semangat menyemangati dan persahabatan. Memang betul kebanyakkan karakter wanita banyak yang di "Fan service" untuk menarik lebih banyak pemain tapi dalam masa yang sama jalan cerita tersebut menarik dan tidak ada scenario yang mendatangkan syahwat seperti ciuman atau muqadimmah kepada zina. Selain itu ada juga scenario yang dimana ada adegan seorang character peremyyang diselamat oleh karakter utama yang membuatkan para pemain berasa tersentuh dan tersipu malu. Jadikah perlukah saya tinggalkan dan adakah haram?
7) Rakan saya simpulkan bahawa hukum tengok perempuan adalah harus sebab semua benda di dunia ini ingin dilakukan seperti bermain bola adalah harus sampai ada dalil yang mengharamkan maka semua adalah haram. Adakah betul menurut pandangan rakan saya tuan/puan?
8) Ada juga rakan saya kata "Dalam game memang tak disebutkan haram secara terus dari Al-Quran atau Hadis dan adanya (Qiyas) untuk menyamakan situasi dengan ketiadaan dalil dalam Nas. "Ustaz Azhar Idrus kata lukisan kartun kebanyakkan menyerupai manusia dan sekali ada yang menunjukkan aurat maka tetap dikatakan haram." Kemudian dia tanya saya lagi "Kenapa kau nak katakan main game (genshin,dll.) diperbolehkan sedangkan banyak hadis yang kata diharamkan?" Soalan ini buat saya rasa macam "Adakah saya ini seorang yang fasik" membuatkan saya rasa resah, gelisah, takut dan berat hati. Jadi bagaimana pendapat tuan/puan?
9) Kebanyakkan karakter dalam mobile legends kebanyakkannya perempuan yang tidak menutup aurat sepenuhnya. Ada yang kata haram bermain kerana membangkitakan syahwat dan ada yang kata tidak. Bila saya main mobile legends saya tak rasa pun tengok aurat karakater tersebut tapi saya rasa nak marah bila sering kalau dalam permainan. Soalan saya adalah adakah syahwat dan rasa marah boleh bercampur dalam satu masa?
Saya harap tuan/puan dapat bantu jawab soalan saya. Jika memang betul saya salah, saya akan tinggalkan.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Secara umumnya, hukum bermain permainan video adalah harus (mubah) selagi mana ia tidak melalaikan daripada kewajipan seperti solat dan jugak ibadah-ibadah lain, selain itu permainan tersebut mestilah tidak mengandungi unsur yang dilarang secara nyata di dalam agama.
Soalan 1 dan 2:
Pembelian item di dalam game melalui sistem gacha yang mengandungi pertaruhan serta nasib iaitu ada pihak yang akan untung atau rugi, berdasarkan nilai barangan yang akan diperolehi, maka ia dianggap sebagai suatu perjudian yang dilarang di dalam Islam. Sama ada pembelian itu menggunakan coin atau token yang diperolehi daripada game yang dimainkan atau menggunakan wang sebenar ia adalah sama. Seandainya barang yang akan diperolehi adalah sama dari segi nilai dan tidak menyebabkan kerugian atau keuntungan mana-mana pihak, yang membezakan hanyalah bentuk atau corak barangan, maka ia dianggap sebagai gharar yasir (ketidakpastian yang sedikit) yang dibenarkan di dalam Islam.
Soalan 3 hingga 6:
Dalam isu "Fan Service" yang direka dengan bentuk menaikkan syahwat orang yang bermain game. Secara asasnya Islam sangat menitikberatkan penjagaan pandangan oleh setiap umatnya, oleh yang demikian sekiranya karakter tersebut direka secara keterlaluan seperti mendedahkan aurat atau apa-apa unsur yang boleh menaikkan syahwat, maka ia diharamkan,
Walaupun niat anda adalah untuk melihat teknik kombo dan efek yang cantik, mata pemain tetap akan melihat visual yang disediakan. Jika kandungan tersebut mendominasi pengalaman bermain anda, ia boleh mengurangkan pahala dan dibimbangi berterusan dengan dosa kecil.
Syahwat dari sudut bahasa bermaksud keinginan atau kecenderungan jiwa kepada sesuatu yang disukai. Dalam konteks agama, ia sering merujuk kepada keinginan seksual atau nafsu terhadap lawan jenis.
Mempunyai perasaan syahwat adalah fitrah dan lumrah bagi sebagai seorang manusia. Namun, tindakan mengikut syahwat ke arah yang haram seperti melihat aurat dengan sengaja untuk menikmati bentuk badan, atau berzina adalah haram. Jika perasaan itu timbul secara tidak sengaja, syariat memerintahkan untuk mengalihkan pandangan (palingkan muka).
Solan 7 dan 8:
Secara umumnya, apa-apa bentuk permainan yang telah dicipta atau yang akan dicipta pada masa hadapan adalah harus untuk dimainkan selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip dan ketetapan syarak. Hal ini kerana tidak terdapat dalil khusus daripada al-Quran dan al-Sunnah yang menyenaraikan secara terperinci satu persatu permainan yang diharamkan. Sebaliknya, nas-nas syarak meletakkan garis panduan umum tentang perkara-perkara yang wajib dijauhi oleh seorang Muslim, yang apabila wujud dalam sesuatu permainan, maka permainan tersebut berubah hukumnya daripada harus kepada haram. Antara unsur-unsur yang diharamkan secara umum yang boleh menjadikan sesuatu permainan itu haram ialah:
Mengandungi unsur judi iaitu melibatkan pertaruhan harta atau wang yang bergantung kepada nasib atau kemenangan, seperti permainan atas talian yang mewajibkan bayaran untuk menyertai dan menawarkan ganjaran wang kepada pemenang.
Mendedahkan aurat atau mengandungi unsur lucah seperti permainan yang memaparkan watak berpakaian tidak sopan atau merangsang nafsu.
Mengandungi unsur melalaikan secara berlebihan sehingga menyebabkan pemain meninggalkan kewajipan agama seperti solat, menjejaskan tanggungjawab keluarga atau pekerjaan.
Mengandungi unsur penipuan, pembohongan atau mempromosikan perkara haram seperti keganasan melampau tanpa kawalan, penghinaan terhadap agama, normalisasi maksiat atau ideologi yang bercanggah dengan akidah Islam.
Mendatangkan mudarat yang jelas sama ada dari sudut fizikal, mental, akhlak atau sosial, selaras dengan kaedah fiqh:
"لا ضرر ولا ضرار" — tidak boleh memudaratkan diri sendiri dan orang lain.
Oleh itu, sesuatu permainan itu asalnya harus, namun hukumnya boleh berubah menjadi makruh atau haram bergantung kepada kandungan, cara dimainkan serta kesan yang ditimbulkannya ke atas individu dan masyarakat.
Soalan 9:
Oleh itu, merujuk kembali kepada persoalan sebaiknya nilailah diri anda sendiri dengan permainan yang dimainkan, renungkanlah manfaat akhirat yang diperolehi dari bermain permainan tersebut, sekiranya ia sekadar mengisi masa yang terluang maka segala panduan yang disebutkan di atas perlu dipatuhi dan dijaga. Meskipun ianya harus pada asalnya, ia akan menjadi haram sekiranya ada mana-mana larangan syarak dilanggar.
Sekian, terima kasih.