BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt,

Saya menghidap penyakit endometriosis dan penyakit ini menyebabkan pendarahan yang banyak dan berpanjangan (12 hingga 15 hari, kadang kala 17 hari). 

Soalan: Pada hari ke-12, saya mendapati tiada kesan darah di pantyliner, dan melaksanakan mandi wajib serta ibadah seperti solat dan puasa. Namun pada hari ke13 atau 14, tiba-tiba saya mendapati terdapat tompokan merah seperti darah muncul kembali. Adakah puasa saya pada hari sebelum itu sah, atau saya sebenarnya dikira masih belum habis haid dan perlu diganti? Adakah itu dikira darah penyakit, oleh sebab diagnosis saya?

Saya dahulukan ucapan terima kasih untuk jawapan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, langkah pertama adalah memastikan tempoh atau masa darah itu keluar melebihi 24 jam. Sekiranya dalam masa 15 hari, tempoh darah keluar tidak melebihi 24 jam, maka ia bukan darah haid, sebaliknya ia adalah darah istihadhah.

Langkah yang kedua, sekiranya tempoh darah keluar melebihi 24 jam, pastikan sama ada ia keluar melebihi dari 15 atau tidak. Jika darah yang datang melebihi 15 hari, dan darah hari ke 15 tidak bersambung dengan hari ke 16 maka haidnya adalah sampai hari ke 15 itu. Manakala darah hari ke 16 itu adalah darah istihadhah. Semasa darah istihadhah keluar, wanita dikira berada dalam keadaan suci.

Jika darah hari 15 bersambung dengan darah hari ke 16 ini bererti darah haid telah bercampur dengan darah istihadhah

Untuk mengetahui yang manakah darah haid dan yang manakah darah istihadhah, terdapat (2) dua cara penyelesaian yang boleh dibuat:

Kaedah Tamyiz (Perbezaan Darah)

1. Jika dapat dibezakan darah-darah yang datang itu seperti ada darah yang kuat (iaitu warna gelap, likat atau berbau -contoh seperti warna merah gelap) dan ada darah yang lemah (berwarna terang seperti warna merah muda), maka hendaklah menjadikan darah yang kuat itu sahaja sebagai darah haid. Manakala darah yang lemah dijadikan sebagai darah istihadhah. Tetapi penyelesaian ini perlukan rekod yang jelas bagi bentuk-bentuk darah yang keluar setiap hari. Jika keliru dan tidak jelas atau tidak tahu membezakan bentuk-bentuk darah yang keluar, maka penyelesaian cara yang kedua boleh dilakukan iaitu:

Kaedah Adat Kebiasaan

2. Kaedah adat boleh digunakan apabila warna darah tidak dapat dibezakan. Jika kebiasaan haidnya 7 hari dan sucinya 24 hari sebelum terjadinya gejala ini anggaplah haidnya pada kali ini juga 7 hari dan 24 hari adalah suci. Jika gejala ini masih berterusan hingga bulan seterusnya maka darah yang keluar pada bulan seterusnya boleh mengikut adat haid seperti yang dinyatakan.

Berdasarkan permasalahan yang dinyatakan, sekiranya darah pada hari ke 13 dan 14 menepati syarat-syarat haid, maka ibadah puasa yang dilakukan sebelum itu tidak sah kerana puan masih dikira dalam tempoh haid.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 6

message user image