Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
setelah kematian mak dan ayah kami telah membuat pembahagian harta pusaka mengikut faraid.
tetapi adik perempuan tak puashati dan mengadu kepada pakcik dan makcik kerana dia dapat harta sedikit
berlaku beberapa pertengkaran dan persoalan.
pihak pakcik telah bertanya kepada abang sulung apa yang korang dah lakukan setelah kematian
mak dan ayah, mereka mendakwa sangat sayang pada kakak mereka( mak saya).
pihak pakcik mengatakan bahwa mak kat kubur itu sedang disiksa melihatkan perangai
anak anak mereka.
persoalan nya adakah apa yang dinyatakan oleh pakcik itu adalah benar mak sedang disiksa akibat
pembahagian harta yang tak adil?
tolong jawab ustaz saya sangat tertekan dan beremosi
Jawapan
Merujuk kepada situasi yang dikemukakan, Islam menekankan konsep keadilan dan kesaksamaan dalam semua aspek kehidupan termasuk dalam pembahagian harta pusaka. Pembahagian harta dalam faraid adalah berasaskan keperluan dan tanggungjawab yang berbeza antara lelaki dan wanita. Sebagai contoh, dalam kebanyakan kes, lelaki menerima dua kali ganda bahagian wanita kerana mereka bertanggungjawab untuk menyara dan menyokong ahli keluarga mereka secara kewangan. Manakala, bahagian wanita, menjadi milik mutlak ke atas mereka sepenuhnya.
Allah SWT telah menyebut di dalam al-Quran bahawa bahagian anak lelaki memang melebihi dua kali ganda daripada bahagian anak perempuan sebagaimana firman Allah SWT dalam surah an-Nisa ayat 11 :
Maksudnya: Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.
Allah SWT menjelaskan bahawa bahagian pusaka bagi seorang anak lelaki bersamaan dengan bahagian dua orang anak perempuan. Ini bermakna bahagian lelaki dua kali ganda lebih banyak berbanding bahagian perempuan disebabkan anak lelaki menanggung banyak beban dari segi kewangan, nafkah, mahar, memelihara tanggungan dan sebagainya.
Dalam situasi keluarga tuan, adik perempuan tuan perlulah bersikap lapang dada dan berfikiran terbuka serta positif dalam sesuatu perkara yang berlaku. Dalam konteks ini, Allah SWT telah mengaturkan segala kerana pasti tidak sia-sia dan ada hikmah disebaliknya, sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah al-Mu'minun ayat 115:
Maksudnya: Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?.
Merujuk kepada persoalan yang terakhir yang dikemukan oleh pihak tuan, isu pembahagian harta pusaka keluarga tuan bukanlah berlaku secara tidak adil. Akan tetapi, ianya hanyalah wujud salah faham dalam ruang pemikiran adik perempuan tuan tentang cara pembahagian yang sememangnya telah ditentukan oleh hukum syarak dan tidak bercanggah dengan hukum Islam. Dinasihatkan agar pihak tuan berbincang secara baik dan harmoni sesama waris yang lain agar hubungan silaturahim terjaga.
Ibu dan ayah di dalam kubur tidak akan diseksa disebabkan pertelingkahan adik beradik berebut harta pusaka atau pembahagian yang tidak adil oleh mereka. Namun, ibu ayah mungkin mendapat dosa jika menyuruh anak-anak untuk berlaku zalim atau tidak berlaku adil di dalam pembahagian harta pusaka. .
Sekian, terima kasih.