Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam ustaz/ustazah, adakah menangis lumrah bagi seseorang yang baru menerima berita yang agak mendukacitakan. saya redha tapi saya menangis. saya terima tetapi hati saya sedikit bersedih walaupun saya sudah memperingatkan diri saya agar bersedia dengan keadaan tersebut. Bagaimana cara untuk saya rawat rasa sedih supaya tak berlarutan
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, menangis itu lumrah dan fitrah manusia apabila menerima berita yang mendukacitakan. Walaupun hati redha, air mata tetap boleh mengalir kerana ia adalah cara tubuh melepaskan emosi. Rasulullah SAW sendiri pernah menangis ketika kehilangan orang yang Baginda sayangi, jadi menangis bukan tanda lemah, tetapi tanda hati yang lembut. Menangis bukan tanda kurang redha, tetapi tanda hati manusia yang hidup. Yang penting ialah bagaimana kita mengurus kesedihan itu supaya tidak berlarutan hingga melemahkan semangat. Dengan memperbanyakan zikir kepada Allah (zikrullah), perbanyakan doa dan sokongan orang sekeliling, kesedihan akan perlahan-lahan bertukar menjadi ketenangan. Merujuk kepada Surah Ar-Ra‘d (ayat 28):
"(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.
والله أعلم بالصواب