Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum wbt,
Saya mahu bertanya berkenaan nazar. Saya pernah bernazar dalam jika saya dapat sambung pengajian dia satu tempat sekian, saya mahu sedekah jumlah sekian di satu masjid. Situasi saya ditakdirkan ibu saya tidak izinkan saya sambung pengajian dan saya terima dan tidak sambung pengajian. Beberapa lama kemudian, saya dapat tahu dari pihak institusi saya pelajar aktif di institusi itu. Soalan saya, adakah nazar saya dikira telah ditunaikan dan saya dalam proses buat permohonan berhenti belajar? Jika memang ditunaikan, adakah saya boleh beri wang saya ada kepada ibu saya, kerana ibu saya dalam keadaan memerlukan. Terima Kasih.
Jawapan
Nazar wajib ditunaikan sebagaimana yang dilafazkan sekiranya syarat nazar itu telah diperolehi atau dicapai. Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 29:
Maksudnya: "dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka".
Merujuk kepada kenyataan yang diberikan, nazar saudari dikaitkan dengan berjaya menyambung pelajaran di tempat tertentu. Sekiranya nazar itu bersifat umum dapat menyambung pelajaran ke tempat tertentu, tanpa mengkaitkan dengan berjaya menamatkan pelajaran di tempat itu, maka syarat nazar itu dianggap telah tercapai dan perlu ditunaikan walaupun saudari berhenti atau keluar dari pusat pengajian tersebut.
Berhubung nazar untuk memberi sumbangan ke masjid tertentu, ia perlu ditunaikan sebagai mana dilafazkan dan tidak boleh ditukar dengan perkara lain seperti memberikan sumbangan tersebut kepada ibu. Seandainya ibu memerlukan wang, saudari boleh memberikan wang itu terlebih dahulu kepada ibu dan menangguhkan memberi sumbangan ke masjid sehingga mampu berbuat demikian. Diharuskan untuk memberi sumbangan berperingkat-peringkat berdasarkan kepada kemampuan.
Sekian, terima kasih.