BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz/ustazah panel di Jabatan Mufti Selangor. Saya perlukan pencerahan atau mungkin nasihat untuk keadaan saya sekeluarga. 

Adakah berdosa jika saya mendoakan kematian bapa saya sendiri? Ini kerana, bapa saya dahulunya mengabaikan hampir keseluruhan nafkah dan hanya menyediakan tempat tinggal semata-mata. Beliau juga banyak mengabaikan kami sebagai anak ketika kecil. Setelah diserang stroke beberapa tahun lepas, beliau Alhamdulillah diberi kesempatan untuk mampu berjalan semula. Namun, beliau tidak berubah - masih tidak merokok dan tidak menjaga kesihatan walaupun itu merupakan punca beliau stroke. Beliau memang tidak mengamalkan solat/puasa dari dulu dan kini masih sama.

Saya faham ini mungkin ujian untuk saya, ibu dan adik perempuan saya. Namun, kesabaran kami semakin hari semakin menipis. Awalnya, kami bertahan kerana mengaggap ini ladang pahala buat kami. Tapi adakah pahala jika setiap perbuatannya kini menyakitkan hati dan menyebabkan kami marah? 

Berdosakah jika saya bawa ibu dan adik untuk pindah keluar dari rumah kami? Atau apakah cara terbaik untuk saya menghadapi masalah ini.

Mohon pencerahan serta pandangan dari ustaz/ustazah.

Terima kasih... 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Secara asasnya, perbuatan mendoakan kematian seseorang adalah dilarang dalam Islam, kerana ia bercanggah dengan adab seorang Muslim apatah lagi apabila doa tersebut ditujukan kepada ibu bapa sendiri. Dalam Islam, seorang anak tetap diperintahkan untuk bersabar dan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, walaupun mereka bersikap zalim atau mengabaikan tanggungjawab. Oleh yang demikian, mendoakan kematian ibu bapa bukan sahaja tidak digalakkan, malah boleh termasuk dalam perbuatan berdosa. Sebaliknya, seorang anak dianjurkan untuk mendoakan kebaikan, hidayah dan kesejahteraan buat ibu bapanya, walaupun mereka sering berkelakuan buruk atau gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu bapa.

Walau bagaimanapun, Islam tidak mengabaikan hak dan penderitaan pihak yang teraniaya. Justeru, keadaan ini perlu diuruskan dengan hikmah, kebijaksanaan dan kawalan emosi, selaras dengan panduan wahyu Allah SWT. Adalah dinasihatkan agar perkara ini dibincangkan secara baik bersama ahli keluarga terdekat, dan sekiranya perlu, melibatkan pakcik, makcik atau kenalan rapat yang dihormati bagi menasihati ayah dengan cara yang lebih berkesan.

Sekiranya usaha tersebut tidak membuahkan hasil, maka menyerahkan urusan ini kepada Allah SWT adalah sebaik-baik jalan. Teruskan berdoa agar Allah melembutkan hati ayah, memberi hidayah kepadanya, serta memelihara ketenangan dan kesejahteraan diri saudari serta ahli keluarga yang lain. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui segala beban yang ditanggung oleh hamba-Nya dan tidak akan mensia-siakan kesabaran serta doa yang dipanjatkan dengan ikhlas.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 39

message user image