Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
assalamualaikum w.b.t
saya ingin bertanya sekiranya terdapat spoting sebelum tarikh period sebagai contoh, jangkaan period saya ada 7hb Januari, tetapi terdapat spoting coklat pada 5hb Januari. adakah ia dikira saya sudah period atau belum?
Jawapan
Darah haid ialah darah yang keluar sekurang-kurangnya mencukupi 24 jam dan paling lama ialah 15 hari 15 malam. Untuk mengetahui darah yang datang itu ialah haid, maka wanita itu perlu melihat sebelum darah itu datang adakah dia telah melalui tempoh suci sekurang-kurangnya 15 hari. Jika ya, maka darah yang baru datang itu bolehlah dikira haid jika ternyata cukup 24 jam. Maksud 24 jam itu ialah sama ada datang berterusan selama 24 jam atau terputus-putus tetapi apabila dicampurkan himpunan masanya maka ia cukup 24 jam asalkan tidak melepasi 15 hari.
Merujuk soalan yang diajukan, darah spotting coklat tersebut boleh dikira haid walaupun tidak seperti adat kebiasaan, sekiranya mencukupi syarat-syarat haid. Antaranya telah melepasi tempoh minimum suci 15 hari 15 malam. Namun, jika 5hb tersebut masih dalam tempoh kurang minimum suci, maka ia dikira sebagai istihadhah.
Sekian, terima kasih.