Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum..Alhamdulillah saya jumpa satu tempat untuk saya bertanyakan soalan tanpa saya perlu bersemuka. Saya telah berkahwin selama 7 tahun dah dikurniakan sepasang cahaya mata. Untuk pengetahuan, saya dan suami pjj kerana faktor pekerjaan dan kadang suami saya perlu bekerja di luar negara paling lama setiap kali berjauhan adalah selama 3 bulan. Berhubung kepada masalah yang saya hadapi, suami saya suka menonton video lucah di telefon bimbit. Pada awal perkahwinan dia pernah kantoi dengan saya, dan berjanji untuk meninggalkan perbuatan tersebut. Kini setelah 7 tahun perkahwinan, sekali lagi dia kantoi dengan saya dan kini telah banyak kali kantoi.Setiap kali kantoi,dia masih menafikan sedangkan secara terang terangan saya melihat dia sedang melayan video tersebut. Dan paling saya terkesan dan terasa hati, sewaktu saya di hospital menunggu untuk bersalin, dia sempat melayan video tersebut, saya dalam pantang berjaga malam dia melayan video tersebut. Walaupun saya berhadapan dengan dia di ruang tv menyusukan anak, dia boleh melayan video tersebut bagaikan tidak hormat akan keberadaan saya dan merendahkan harga diri saya sebagai seorang isterinya yang sah. Soalan saya,
1) Adakah perbuatannya menonton video itu dianggap dia mengkhianati rumah tangga kami sebagai suami isteri?
2) Adakah dia dikira berlaku curang di belakang saya dengan menonton video tersebut walaupun dia tidak berhubung dengan mana mana wanita di luar sana?
3) Puas saya menasihati dia untuk meninggalkan perbuatan tersebut andai dia sayangkan rumah tangga kami, namun diabaikan. Apa yang perlu saya buat?
Saya sangat berharap soalan saya ini dijawab.
Jawapan
Allah SWT berfirman dalam Surah an-Nur ayat 30 :
Maksudnya: Katakanlah kepada orang-orang beriman agar mereka menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.
Imam Ibn Kathir berkata:
Menundukkan pandangan bermaksud menjauhi melihat perkara yang diharamkan kerana ia adalah pintu kepada kerosakan hati dan zina. Pornografi melanggar perintah langsung ini, walaupun tanpa sentuhan fizikal.
Daripada Abi Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda :
Maksudnya : Telah ditetapkan ke atas setiap anak Adam bahagiannya daripada zina; dia pasti akan mengalaminya. Maka kedua-dua mata, zinanya adalah dengan memandang. Kedua-dua telinga, zinanya adalah dengan mendengar. Lidah, zinanya adalah dengan berkata-kata. Tangan, zinanya adalah dengan menyentuh atau melakukan perbuatan. Kaki, zinanya adalah dengan melangkah (menuju kepada maksiat). Dan hati itu berkeinginan serta berangan-angan, lalu kemaluanlah yang membenarkan perbuatan itu (dengan zina sebenar) atau menolaknya.” (Hadis riwayat Muslim)
Hadis ini menunjukkan bahawa perbuatan melihat yang diharamkan adalah dosa, walaupun tidak membawa kepada zina sebenar. Maka menonton video lucah adalah zina mata dan hati dan membawa kepada dosa yang nyata.
Menjawab pertanyaan puan :
1. Perbuatan suami puan itu dari sudut akhlak dan tanggungjawabnya sebagai suami, mungkin boleh menjadi satu bentuk pengkhianatan amanah dalam perkahwinan. Walaupun ia bukan zina fizikal, namun memilih rangsangan seksual daripada wanita lain walaupun melalui skrin atau selainnya, maka itu boleh menjadi satu bentuk pengkhianatan sebagai suami, dan hakikatnya ia sangat melukakan maruah dan harga diri isterinya.
2. Secara khusus ia bukanlah perbuatan curang secara fizikal ataupun zina secara fizikal tetapi ia membuka ruang untuk menuju kepada maksiat dan membangkitkan syahwat yang dikhuatiri akan membawa kepada dosa zina atau sebagainya. Hadis di atas telah jelas menerangkan tentang kenyataan ini iaitu zina mata itu dengan memandang dan zina hati itu dengan berkeinginan. Kesemuanya adalah dosa.
3. Teruskan memberi nasihat dan peringatan kepada suami agar meninggalkan perbuatan tersebut dan boleh juga diteruskan lagi dengan melibatkan pihak ke tiga sama ada mana-mana orang tua atau orang yang sangat suami hormati sebagai orang tengah atau boleh juga mendapatkan khidmat nasihat dari pegawai di mana-mana Pejabat Agama Islam Daerah atau Jabatan Agama Islam atau sebagainya. Di samping itu, banyakkan berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT agar dilembutkan hati suami untuk menerima kebenaran dan meninggalkan habit atau kebiasaan yang tidak baik itu.
Sekian terima kasih