BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Soalan saya ialah, jika seorang scammer sesebuah MLM atau bisnes tipu duit orang ramai, jika ingin bertaubat nasuha, adakah perlu meminta maaf kepada semua mangsanya? Adakah upline yang mempertahankan ketua scammer tadi dikategorikan sebagai scammer, jika ingin bertaubat, perlu juga meminta maaf kepada downline?

Kalau boleh, minta Tuan/Puan senaraikan langkah-langkah scammer dan upline tegar bertaubat mengikut ajaran Islam mengikut stuasi soalan di atas.

Terima Kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan, menipu orang merupakan suatu bentuk kezaliman kepada seseorang. Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA tentang keadaan dan akibat bagi manusia yang melakukan kezaliman terhadap manusia di akhirat kelak:

رَحِمَ ‌اللَّهُ ‌عَبْدًا ‌كَانَتْ ‌لِأَخِيهِ عِنْدَهُ مَظْلِمَةٌ فِي عِرْضٍ أَوْ مَالٍ، فَجَاءَهُ فَاسْتَحَلَّهُ قَبْلَ أَنْ يُؤْخَذَ وَلَيْسَ ثَمَّ دِينَارٌ وَلَا دِرْهَمٌ، فَإِنْ كَانَتْ لَهُ حَسَنَاتٌ أُخِذَ مِنْ حَسَنَاتِهِ، وَإِنْ لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَاتٌ حَمَّلُوهُ عَلَيْهِ مِنْ سَيِّئَاتِهِمْ

Maksudnya: Barangsiapa yang menanggung kezaliman yang dilakukan ke atas orang lain, sama ada mengenai maruah dan kehormatan atau sebarang perkara lain (mengambil harta orang lain) maka bersegeralah untuk meminta keampunan sebelum datangnya masa yang tidak ada padanya wang ringgit atau emas perak untuk membayarnya, bahkan pada masa itu kalau ia mempunyai amal soleh, akan diambil daripada amalnya itu dan diberikan kepada orang itu, kalau ia pula tidak mempunyai amal soleh, maka akan diambil dari kesalahan orang itu serta dibebankan kesalahan itu ke atasnya. (Riwayat al-Tirmizi) 

Berdasarkan hadis ini, jika seorang scammer melakukan penipuan hendaklah memohon ampun kepada Allah dan taubat nasuha atas perbuatan tersebut. Di samping itu, hendaklah berusaha untuk mengembalikan semula hak orang lain yang diambil serta memohon maaf kepada mereka yang terlibat. Jika sukar untuk berbuat demikian, hendaklah memperbanyakkan berdoa, amal ibadat dan amal kebaikan supaya amalan tersebut dapat menghapus dosa-dosa yang dilakukan. Firman Allah SWT dalam surah Hud ayat 114:

إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ۚ ذَٰلِكَ ذِكْرَىٰ لِلذَّاكِرِينَ

Maksudnya: Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.

Manakala upline yang mempertahankan ketua scammer boleh dianggap menyerupai scammer kerana bersubahat dan menyokong perbuatan yang tidak baik itu. Sebagai seorang Muslim, hendaklah memberhentikan perbuatan tersebut serta taubat dengan sebenar-benarnya iaitu dengan bersungguh-sungguh, ikhlas dan berazam tidak mengulangi perbuatan tersebut. Firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 31:

وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. 

Semoga Allah SWT mengurniakan keikhlasan dalam taubat, melembutkan hati orang yang dizalimi untuk memaafkan, dan menjadikan peristiwa ini sebagai titik perubahan menuju kehidupan yang lebih bersih dan diredai-Nya.

 والله أعلم بالصواب

Sekian. Terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 40

message user image