BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Saya pernah menipu untuk mendapatkan bantuan, selam ni saya tidak tahu duit tu jadi duit haram yang meyebabkan amalan saya tidak diterima Allah, sekarang saya sudah sedar duit tu duit haram bokeh ke saya bersihkan duit itu dengan menyerahkan pada fakir miskin dan Baitulmal. 

 

saya pernah menggunakan vocher yang terhad untuk pelanggan pertama kali tapi saya guna lebih dari yang sepatutnya saya dah hubungi mereka untuk mengembalikan voucer tersebut tapi voucer tu x boleh saya pulangkan dah dengan duit. Macam saya nak bersihkan harta haram macam ni ya. 


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد 

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, hukum memanipulasi dan menipu menggunakan voucher dalam urusan muamalat adalah haram dan berdosa di sisi hukum Syarak kerana ibarat memakan harta secara batil. Sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah al-Nisa' ayat 29:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ⁠

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil.

Pihak tuan dinasihatkan untuk segera bertaubat dan menyesali serta berazam untuk meninggalkan perbuatan itu. Jika tuan telah menggunakan voucher dengan cara tidak sepatutnya digunakan (haram), maka tuan perlulah memulangkan semula nilaian voucher tersebut kepada pihak yang mengeluarkan, atau sekiranya tidak dapat dipulangkan, maka serahkan mengikut nilaian voucher itu ke Baitulmal selaku agensi yang berautoriti menguruskan wang tidak patun syariah, tambahan pula harta haram tidak boleh dibiarkan untuk kegunaan pada diri sendiri atau dicampur dengan harta yang halal.

Sejajar dengan satu ketetapan berkenaan penyaluran wang tidak patuh syariah atau wang haram ini juga telah dibuat melalui keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Bil. 1/2009 pada 18hb. Mac 2009 yang menyatakan:

  1. Wang tidak patuh syariah yang diperolehi boleh dijadikan sumber baitulmal dan harus dimasukkan ke dalam akaun baitulmal.
  2. Penggunaan wang tidak patuh syariah harus untuk kegunaan menjalankan operasi perjalanan kerja di MAIS seperti pembinaan, penyelenggaraan bangunan, emolumen, pendidikan, pertanian, penyelidikan, perubatan, kemudahan asas seperti pembinaan dewan, tandas, jambatan dan lain-lain untuk kegunaan umum.

Oleh yang demikian, disarankan agar pihak tuan merujuk kepada pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor bagi kaedah dan proses penyaluran wang tidak syariah agar harta tersebut dapat disucikan dan diuruskan oleh pihak Baitulmal untuk ditadbir dengan cara yang betul.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 37

message user image