Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
1. lafaz taklik dibuat terdahulu sebelum PJJ yang berbunyi " jika saya tertipu atau awak ada berlaku Curang dan tak jujur terhadap saya, awak tidak jujur dengan saya atas sebab sebab munasabah dan sahih tanpa penjelasan yang benar, dimasuk akal atau awak sengaja putar putar belit cerita, atau awak berlaku hubungan fizikal dengan lelaki lain atau berhubung mana mana laki yg Jatuh nya ke pada cinta dan sayang, atau bawak laki tidur hanya sekadar teman tidur, keluar tanpa alasan munasabah selain kerja atau Hal Hal yg penting atau *daruroh* , Jatuh lah talak awak yang terakhir"
2. pada satu hari, saya bantu kawan sekerja (berlainan jantina), dan dia belanja air sebagai tanda terima kasih. jadi saya pon bercerita kepada suami saya berkenaan dengan hal ini (memandangkan saya risau termasuk dalam taklik)
3. dan secara tiba2, dia terus mengatakan , you bukan bini i dah.
Apakah jatuh talak? Dan sebelum ini kami pernah bergaduh dan suami melafazkan "aku ceraikan kau" sebanyak 2 kali (sekali tanpa saksi) dan ada saksi (ayah saya dalam talian) pada hari yang sama. Kes ini juga belum kami sahkan di mahkamah kerana kekangan masa.
Jawapan
1. Lafaz tersebut boleh dikategorikan sebagai lafaz taklik talak. Taklik talak hanya akan jatuh jika syarat yang dilafazkan oleh suami itu benar-benar berlaku secara jelas dan yakin bukan dalam keadaan syak, ragu-ragu atau dengan tafsiran dan andaian yang samar-samar. Perbuatan membantu kawan sekerja berlainan jantina dan selepas itu puan memberitahu perkara tersebut kepada suami puan bukanlah sesuatu yang ada kaitan dengan taklik yang suami lafazkan pada sangkaan puan, namun sekiranya ada dakwaan atau tafsiran dari suami puan bahawa perkara itu boleh menyebabkan jatuhnya taklik talak, maka adalah disyorkan agar puan merujuk perkara ini kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57, memandangkan urusan pengesahan perceraian adalah merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
2. Kenyataan puan bahawa sebelum ini suami ada melafazkan "aku ceraikan kau". Lafaz ini sekiranya benar-benar berlaku maka ia adalah lafaz yang jelas atau sorih dan boleh menyebabkan jatuhnya talak. Tidak kira samada dihadapan saksi atau tidak, sekiranya lafaz itu adalah sorih atau jelas, maka ia akan menyebabkan jatuhnya talak. Oleh yang demikian, perkara ini hendaklah didaftarkan di Mahkamah Syariah dengan kadar segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57.
Sekian terima kasih