BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Mufti,

 

Pertama sekali, mohon kerjasama pihak Mufti untuk tidak menyiarkan soalan ini kepada pihak awam memandangkan ia mengaibkan dan atas faktor keselamatan saya juga.

Untuk makluman, saya ingin berkahwin dengan seorang lelaki ini. Beliau pun mempunyai niat untuk berkahwin dengan saya.

Walau bagaimanapun, saya telah dimaklumkan oleh ibu beliau bahawa keluarga ayahnya (ibu bapa lelaki tersebut telah bercerai) kini beramal ilmu hitam dan tidak mempercayai ajaran Islam (cth: bertudung adalah budaya kampung dan tidak kisah jika anak-anak mahu ke kelab malam, mabuk dan sebagainya) (alhamdulillah lelaki yang saya ingin berkahwin ini tidak mematuhi apa yang ayahnya suruh).

Selepas mengetahui perkara ini, saya telah membangkitkan tiga syarat untuk mengahwininya yakni (1) jika ingin majlis kahwin bersama, keluarga ayahnya tidak dijemput ekoran khuatir keselamatan tetamu-tetamu yang lain, (2) Jika mempunyai anak kelak, nama gelaran (contoh: Nik/Tengku) tidak perlu diwarisi kerana tidak ingin mengaitkan dengan keturunan atuknya kelak, (3) Selepas kahwin, untuk berjumpa dengan keluarga ayahnya seminimum mungkin untuk menjaga keselamatan diri saya dan bakal anak. Namun, lelaki tersebut terasa berat hati untuk menerima syarat (2) dan (3) kerana beliau masih menyayangi ayahnya. Beliau hanya berkata pada saya bahawa mereka tidak akan lakukan apa-apa terhadap saya. Tapi, saya risau.

Sebagai konteks, ilmu sihir yang dilakukan oleh keluarga ayahnya (nenek dan ayah) adalah terhadap ibu lelaki tersebut dan anak-anak perempuannya (sihir pemisah ibu dan anak perempuannya). Saya takut lelaki tersebut tidak dapat selamatkan saya selepas kahwin. Saya juga takut jika ayahnya juga akan melakukan yang bukan-bukan terhadapnya memandangkan mereka pun boleh menyihir anak perempuannya sendiri.

Persoalan saya - adakah ini suatu (maaf berbahasa Inggeris) "deal breaker/red flag"? Alhamdulillah, lelaki tersebut baik agama dan akhlaknya. Keluarga ibunya juga alhamdulillah daripada golongan yang alim. Namun, saya sangat risau dengan ayahnya. 

Bagaimanapun, jika tidak, apakah nasihat dan panduan Mufti untuk saya hadapi perkara ini? 

 

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan saudari, secara umum dijelaskan bahawa perkahwinan yang baik dan mencapai matlamatnya adalah perkahwinan yang membawa ketenangan, mahabbah & rahmah dan bukan sesuatu yang membawa kepada ketakutan, stress dan kebimbangan.

Dalam persoalan yang saudari utarakan ini, Islam melihat kepada tiga neraca utama iaitu :

Neraca pertama berkaitan dengan akidah. Sihir atau ilmu hitam adalah perbuatan haram dan termasuk dosa besar, malah boleh membawa kepada kufur jika melibatkan unsur syirik dan pergantungan kepada selain Allah SWT. Akidah boleh rosak apabila seseorang itu bersekongkol, meredai, atau mempertahankan amalan sihir. Oleh itu, sebarang bentuk pergaulan atau pendedahan yang boleh membawa mudarat terhadap akidah dan keselamatan adalah wajar dielakkan menurut syarak. 

Keduanya saudari boleh menimbang sebarang keputusan berdasarkan maslahah dan mafsadah atau manfaat & mudarat. Maksudnya bila berkahwin kelak adakah manfaatnya lebih banyak daripada mudarat atau mudarat lebih banyak dari manfaat. Kalau sekiranya meneruskan perkahwinan atau tidak meneruskan perkahwinan, kedua-duanya mudarat maka, dalam kaedah fiqh, kita boleh mengambil mana-mana mudarat yang paling ringan.

Yang ketiga, sepertimana yang saudari nyatakan bahawa tunang saudari adalah orang yang baik dan dia tidak sama sekali bersetuju dengan amalan yang dilakukan oleh bapanya. Maka, sekiranya saudari ingin meneruskan perkahwinan, tunang saudari hendaklah berupaya menjadi pelindung atau qawwam. Lelaki yang qawwam hendaklah mempunyai kejelasan akidah dan sikap tegas terhadap pelakuan maksiat, kebolehan membuat keputusan berprinsip dan memberi keutamaan kepada keselamatan dan ketenangan keluarga.

Oleh yang demikian, pertanyaan saudari adakah ini satu "deal breaker atau red flag" adalah melihat dan merujuk kepada tiga neraca yang telah dinyatakan di atas.

Rumusannya, Islam tidak menggalakkan umatnya memasuki perkahwinan yang membawa ketakutan, kegelisahan dan ancaman terhadap agama serta keselamatan. Perkahwinan yang diberkati ialah perkahwinan yang dibina atas asas kejelasan, tanggungjawab dan perlindungan yang sebenar.

والله أعلم بالصواب

Sekian terima kasih

 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 34

message user image