Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan/puan,
Saya berasa sedih dan kadang rasa berat hati sebab mak mertua saya menganggap suami saya macam ATM..beliau selalu minta duit dengan suami saya padahal ramai adik beradik yang lain(semua lelaki) tapi tak minta dengan mereka..kadang saya rasa tak adil dan tak redha pun ada..Kami suami isteri memang kedua-duanya bekerja.
Adakah ini normal?
Mohon pencerahan dan apa yang patut saya lakukan mengikut pandangan tuan/puan?
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan:
1. Suami wajib mendahulukan nafkah isteri dan anak-anak. Berbakti kepada ibu bapa adalah tuntutan yang besar dalam Islam, namun ia tidak boleh dilakukan sehingga menjejaskan hak isteri dan kestabilan rumah tangga.
2. Dalam menghadapi konflik seumpama ini, perbincangan antara suami isteri adalah antara kaedah yang terbaik dalam membuat sebarang keputusan. Perbincangan atau syura yang dijalanakan dalam suasana yang tenang dan damai lazimnya akan menatijahkan ketenangan dan rasa puas hati dari kedua belah pihak. Syeikh al-Maraghi berkata: “Berbincang itu mengandungi banyak faedah, antaranya memperlihatkan bahawa adanya kesatuan hati dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Penyatuan hati ini yang akan menolong mencapai sesuatu tujuan.
Maka,
a) Berbincang dengan suami secara berhemah, fokus kepada keperluan dan kestabilan rumah tangga, bukan menyalahkan ibu mertua.
b) Meminta suami menetapkan batas kewangan yang jelas.
c) Menjaga emosi dan kesihatan mental sendiri, kerana ia juga amanah.
d) Banyakkan doa agar Allah melembutkan hati dan memudahkan urusan.
Berbakti kepada ibu bapa adalah mulia, namun menjaga rumah tangga juga satu amanah besar. Keseimbangan antara kedua-duanya adalah tuntutan syarak.
Sekian, terima kasih.