BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Apakah hukum membeli emas menggunakan pembayaran Spaylater shopee?

Adakah termasuk riba walaupun saya memilih untuk membuat pembayaran 0% installment spaylater shopee?


message user image

Jawapan  

 السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

SPayLater adalah sistem pembayaran beli sekarang bayar kemudian (buy now pay later) yang disediakan oleh Shopee. Pengguna boleh membuat belian dengan segera dan membayarnya pada bulan hadapan sekaligus atau melalui pelan bayaran ansuran  (installment plan) selama beberapa bulan sama ada 2 bulan, 3 bulan atau 6 bulan.

Manakala emas sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh ‘Ubadah Bin al-Somit RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

الذَّهَبُ بالذَّهَبِ، والْفِضَّةُ بالفِضَّةِ، والْبُرُّ بالبُرِّ، والشَّعِيرُ بالشَّعِيرِ، والتَّمْرُ بالتَّمْرِ، والْمِلْحُ بالمِلْحِ، مِثْلًا بمِثْلٍ، سَواءً بسَواءٍ، يَدًا بيَدٍ، فإذا اخْتَلَفَتْ هذِه الأصْنافُ، فَبِيعُوا كيفَ شِئْتُمْ، إذا كانَ يَدًا بيَدٍ

Maksudnya: Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara serta-merta (bukan bertangguh). Namun, jika jenis dan kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah mengikut yang kamu kehendaki dengan syarat mesti dibayar secara serta-merta (on the spot). (Riwayat Muslim)

Emas merupakan antara barangan ribawi yang tertakluk kepada ketetapan khusus dalam urusan jual beli maka setiap transaksi yang melibatkan kedua-duanya hendaklah dilaksanakan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak.

    a. Berlaku taqabudh (penyerahan) antara kedua-dua item yang terlibat dalam transaksi sebelum kedua-dua pihak bertransaksi berpisah daripada majlis akad.

    b. Jual beli emas hendaklah dijalankan secara lani, dan tidak boleh berlaku sebarang penangguhan.

Syarat-syarat yang disebutkan di atas adalah khas bagi emas yang bercirikan item ribawi, seperti emas jongkong dan syiling emas. Syarat ini tidak termasuk barang perhiasan emas kerana ia telah terkeluar daripada illah ribawi.

Oleh itu, sekiranya barangan yang dibeli secara bertangguh dengan adalah melibatkan item ribawi berbentuk syiling emas atau jongkong emas maka ia perlu dielakkan tetapi sekiranya ianya adalah emas dalam bentuk barang kemas maka ia diharuskan sebabaimana yang ditetapkan di dalam Parameter Pelaburan Emas.

والله أعلم بالصواب 

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 97

message user image