Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Telah berlaku satu pergaduhan antara saya dan suami. Dalam keadaan tersebut, saya telah meminta untuk dilepaskan. Keadaan menjadi semakin tegang apabila saya mengugut untuk mencederakan diri sekiranya tidak dilepaskan.
Bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk, suami saya telah melafazkan kata-kata seperti: “Kalau nak sangat, transfer RM2000.” Beliau kemudian berdiam diri seketika, sebelum menambah lafaz: “dalam 2 jam.” Menurut beliau, maksudnya ialah pindahan wang itu mesti dilakukan dalam tempoh 2 jam sahaja, selepas itu tidak dikira.
Namun, suami telah membuat helah dengan mematikan talian internet agar pindahan tersebut tidak dapat dilakukan. Akhirnya, tiada sebarang pindahan wang berlaku pada masa itu.
Pada keesokan harinya, saya mencadangkan agar kami membuat pengesahan di pejabat agama. Namun, suami yakin bahawa tiada talak berlaku kerana lafaz tersebut dianggap terbatal setelah tamat tempoh masa yang diberikan.
Kini, setelah hampir 9 tahun berlalu, timbul keraguan dalam diri saya mengenai lafaz tersebut. Tambahan pula, tempoh “2 jam” yang disebut oleh suami tidak saya ingati pada ketika itu, seolah-olah tidak saya dengari kerana keadaan emosi yang tidak stabil. Untuk makluman, selepas kejadian itu kami telah dikurniakan seorang anak perempuan.
Keraguan ini merunsingkan saya sehingga kini. Maka saya ingin mendapatkan penjelasan:
1. Adakah lafaz taklik tersebut dikira sah?
2. Adakah tempoh “2 jam” itu sah sekiranya tidak disebut dalam lafaz yang sama, iaitu diselangi dengan berdiam seketika?
3. Jika tidak mengambil kira tempoh 2 jam tersebut, adakah jatuh talak sekiranya saya ada membuat pindahan wang pada masa lain, tetapi atas urusan lain dan bukan dengan niat untuk bercerai?
Untuk soalan ketiga, baru-baru ini saya ada menghubungi seorang peguam syarie melalui talian untuk mendapatkan pendapat. Menurut beliau, talak tidak jatuh sekiranya pindahan wang dibuat dengan niat lain, bukan untuk tujuan perceraian.
Adakah benar pendapat tersebut?
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan :
Lafaz suami tersebut tidak sah sebagai taklik talak kerana lafaz suami tidak menyebut secara jelas jatuhnya talak, cerai atau lafaz yang membawa maksud talak apabila syarat taklik itu dipenuhi. Lafaz suami: "Kalau nak sangat, transfer RM2000" adalah lafaz yang tidak menyebut talak, cerai, atau apa-apa lafaz yang membawa makna talak, ia adalah satu bentuk "khabari" iaitu satu penyataan, cadangan, persetujuan yang sekiranya isteri hendak penceraian, isteri hendaklah memberinya RM2000. Sekiranya isteri dapat memberikan wang tersebut kepada suami, dan suami mahu meneruskan keinginannya untuk menceraikan isteri, maka suami perlu mengucapkan lafaz talak kepada isteri.
Persoalan adakah wujud ayat "2 jam" dari suami atau tindakan puan membuat pindahan wang pada masa lain, tetapi atas urusan lain dan bukan dengan niat untuk bercerai, tidak ada berkaitan kerana lafaz taklik talak suami tersebut adalah tidak sah dari sudut pandangan syarak. Semoga keterangan ini dapat menghilangkan keraguan puan, kerana syak yang datang kemudian tidak memberi kesan kepada keyakinan asal.
Sekian terima kasih