BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ada pertanyaan berkaitan keberkatan. Terutamanya berkaitan keberkatan ilmu. Orang selalu kata, kalau kita menipu dalam belajar atau kerja, akan menjejaskan keberkatan ilmu kita. Orang kata mungkin akan memberi kesan kepada hidup dia di masa depan.Tapi kalau dah buat kesilapan tersebut, adalah memang akan hilang keberkatan itu selamanya. Adakah kalau dengan bertaubat masih hilang berkah ilmu dan hidup akan terkesan dgn perbuatan tersebut. Adakah ada cara untuk menebus, sebagai contoh kalau bersedekah atau sebagainya. Saya sangat memerlukan jawapan terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, perbuatan menipu itu adalah berdosa. Hal ini berdasarkan sebuah hadith daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: Dan sesiapa yang menipu kami, maka dia bukan daripada kalangan kami. (Riwayat Muslim)

Justeru, penipuan tergolong dari dosa-dosa besar. Namun jika sekiranya ia sudahpun berlaku, dan pelakunya juga menginsafi akan perbuatannya tersebut dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi, maka hendaklah pelakunya itu bertaubat dengan taubat nasuha dan berazam untuk tidak mengulanginya semula selama-lamanya. Adapun dosa yang lalu seperti menipu, moga-moga Allah SWT telah mengampunkan dosa yang lalu tersebut setelah tuan menginsafi akan perbuatan itu. Perkara ini seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Ma'idah ayat 95:

عَفَا اللَّهُ عَمَّا سَلَفَ

Maksudnya: Allah maafkan apa yang telah lalu. 

Oleh itu, kami juga ingin menasihatkan supaya puan memperbanyakkan amalan-amalan kebajikan dan beristighfar sebagai pengampun dosa yang telah dilakukan kerana sebaik-baik manusia yang melakukan kesalahan adalah mereka yang segera bertaubat kepada Allah SWT. Di samping itu, anggaplah ia sebagai pengajaran bagi diri puan supaya tidak mengulangi perbuatan dosa itu lagi masa akan datang dan moga-moga Allah SWT mengampunkan dosa puan yang lalu. Begitu juga, dalam meraih keberkatan hidup adalah di dalam kekuasaan Allah dalam erti kata Allah akan memberi kepada sesiapa hambaNya yang Dia inginkan seperti firman Allah SWT surah ali Imran ayat 74: 

يَخْتَصُّ بِرَحْمَتِهِ مَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ  

Maksudnya: Allah menentukan pemberian rahmat-Nya itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan (ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang besar. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 39

message user image