BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ada beberapa soalan,

Sewaktu saya kecil, sekitar umur 10-12, saya ada bernazar dan jika ia menjadi kenyataan, saya akan solat sunat. Persoalannya, adakah cukup bagi 1 nazar itu jika saya solat sunat 2 rakaat? Adakah memadai jika niat "sahaja aku solat sunat disebabkan nazar 2 rakaat kerana Allah SWT"? Apa patut saya buat jika saya lupa berapa kali saya bernazar? Tapi seingat saya kebanyakan yang saya bernazar, kalau menjadi kenyataan, saya akan solat sunat je. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Nazar adalah mewajibkan ke atas diri sendiri perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak ditentukan dalam syarak, sama ada secara mutlak ataupun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara.

Hukum melunaskan nazar adalah WAJIB sebagaimana hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu. (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan pertanyaan puan, apabila sesuatu hajat yang dihajati telah tertunai, maka puan wajib melaksanakan qurbah berdasarkan nazar yang telah dilafazkan sebagai tanda syukur atas nikmat atau hajat yang diperoleh tersebut. Puan hendaklah berusaha menunaikan nazar berkenaan sebagaimana yang telah disyaratkan. Sekiranya lafaz nazar yang diucapkan bersifat umum, seperti “aku bernazar akan solat sunat” tanpa menentukan bilangan rakaat dan jenis solat sunat, maka memadai ditunaikan dengan solat sunat dua rakaat. Hal ini kerana kadar asas solat sunat ialah dua rakaat, dan ia boleh dilaksanakan bagi apa-apa jenis solat sunat, tanpa perlu menyatakan dalam niat disebabkan nazar. Selain itu, kewajipan menunaikan nazar ini hanya terpakai bagi nazar yang diyakini telah dilafazkan, dan tidak wajib menunaikan nazar yang sekadar dalam sangkaan atau lintasan hati semata-mata.

 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 2

message user image