Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum Jabatan Mufti Selangor, Saya mempunyai seorang anak lelaki berumur 1 tahun yang mengidap masalah penyerapan nutrisi makanan di bahagian usus. Sekarang berada di Pusat Perubatan Universiti Malaya. Doktor mengesahkan bahawa penyerapan kurang dari 50% dari kanak-kanak normal. Disebabkan ini berat anak saya masih 4kg dan segala perkembangannya agak lambat. Buat masa ini anak saya dalam prosedur memasukkan TPN kedalam badan, dan prosedur ini perlu dilakukan hari-hari dan doktor mengatakan sekiranya tidak bergantung dengan TPN ini, berat akan turun dan akan membahayakan kesihatan dan perkembangan anak. Masalah dengan TPN ini sekiranya berlaku dalam masa panjang, mungkin akan ada masalah infection. pembedahan yang berlanjutan setiap kali tiub ada infection, masalah dengan organ dalaman sekiranya digunakan dalam masa yang lama. Bagaimanapun benda ini adalah risiko yang mungkin berlaku dalam perjalanan anak saya mengunakan TPN. Pakar mengatakan penyerapan kurang dari 50% itu di sebabkan tidak mempunyai enzyme yang cukup. Mereka mencadangkan mengunakan creon (creon ini terhasil dari sebahagian dari babi) untuk membantu masalah penyerapan ini. bagaimana pun tiada apa yang 'confirm' mengatakan perkara ini adalah jalan penyelesaian. Hanyalah salah satu cara yang cuba dilakukan. Saya mohon bantuan pihak Jabatan Mufti dapat menjelaskan perkara ini samada ia jatuh dalam hukum harus atau masih dalam hukum haram (kerana adanya TPN)
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, hukum asal berkaitan penggunaan kaedah perubatan atau bahan penawar dari sumber yang haram adalah haram mengikut Hukum Syara’ berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda; إن الله أنزل الداء والدواء ، وجعل لكل داء دواء فتداووا ولا تداووا بحرام Maksudnya; “Sesungguhnya Allah SWT menurunkan penyakit dan penawar, dan Allah SWT menjadikan bagi setiap penyakit itu ada penawarnya, maka berubatlah dan janganlah berubat dengan perkara yang haram.” (Riwayat Abu Daud) Mengikut Hukum Syara’, kenyataan atau nasihat pakar adalah diterimapakai dan perlu diikuti dalam apa-apa proses rawatan walaupun ianya bersumberkan bahan yang terlarang (najis) sekiranya tiada pilihan lain yang lebih baik kepada pesakit. Kaedah fekah ada menyebut ; الضرورة تبيح المحظورة Maksudnya : “Drorurah (keadaan terpaksa) mengharuskan perkara yang ditegah” Kaedah di atas diikat pula dengan kaedah yang lain iaitu; الضرورة تقدر بقدرها Maksudnya : “Drorurah (keadaan terpaksa) terhad kepada kadarnya sahaja” Keharusan melakukan perkara yang dilarang ketika dharurah hanya dibenarkan sekadar untuk menghilangkan dharurah itu sahaja dan tidak boleh dilakukan setelah dharurah tersebut hilang. Pada ketika ini, tuan diharuskan menggunakan creon untuk rawatan anak tuan sehingga keadaannya kembali normal seperti bayi lain. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.