BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt Tuan/Puan/ Ustaz/ Ustazah,

Pertama sekali, saya ingin memohon maaf atas kekhilafan saya dan terima kasih atas jasa baik pihak tuan/ puan/ ustaz/ ustazah dalam menjawab pertanyaan saya. Saya ada soalan mengenai penjagaan ibu/ ayah yang sakit/ uzur. Ayah sy berusia 83 tahun, di mana fizikal masih kuat (masih mampu berjalan, makan dsb) tetapi kesihatan mental di kategori nyanyuk (kerap berhalusinansi, bercakap sendirian dsb) akibat masalah kesihatan yang dialami sebelum ini seperti strok, kencing manis dan darah tinggi. Mata juga dah tak nampak kerana katarak akibat kencing manis dan buah pinggang juga telah rosak. Oleh sebab keadaan ayah, jadi sekarang dia memerlukan bantuan untuk ke tandas, makan dan aktiviti harian nya. Kami adik beradik bekerja dan masing-masing tinggal sendiri bersama keluarga masing-masing mengikut kawasan kami ditugaskan, jadi ibu dan ayah tinggal berdua di kampung. Soalan saya adalah, salahkah sekiranya kami menggunakan khidmat caregiver (lelaki) berdaftar untuk membantu menguruskan ayah terutama pada waktu malam? Di sebabkan tiada anak-anak yang boleh membantu ibu/ ayah pada waktu malam, adakah tindakan ini bertentangan dari segi agama? Niat kami ingin membantu ibu yang juga dah berusia dalam menguruskan ayah, saya tak pasti adakah tindakan kami ini akan menimbulkan fitnah, shubhah atau tidak wajar. Mohon penjelasan dari pihak yang lebih arif.

Terima Kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Berdasarkan persoalan yang diajukan, hukum menggunakan caregiver  bagi menjaga ibu bapa yang sudah uzur adalah harus. Anak-anak boleh menggunakan perkhidmatan caregiver terutamanya apabila terdapat kekangan masa. Hal ini merupakan salah satu bentuk kewajipan yang ditunaikan mengikut kemampuan. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: 

فَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عَنْ شَيْءٍ فَاجْتَنِبُوهُ، وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ ‌فَأْتُوا ‌مِنْهُ ‌مَا ‌اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: Apabila aku mencegah kalian daripada sesuatu perkara, maka jauhilah ia. Apabila aku mengarahkan kalian terhadap sesuatu perkara, maka lakukanlah sekadar yang temampu. (Riwayat al-Bukhari)

Perlu diselidiki terlebih dahulu status caregiver yang ingin digunakan supaya diyakini selamat untuk kedua ibu bapa puan. Namun begitu, jika terdapat dalam kalangan adik-beradik puan yang boleh menjadi caregiver ibu bapa puan, maka itu adalah lebih baik.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 44

message user image