BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Bagaimana saya boleh pastikan saya tidak berbohong dari awal? Bagaimana saya boleh mengetahui keyakinan saya sejak awal? Bagaimana saya boleh memastikan saya tidak menyembunyikan?

Saya semakin gelisah dan sukar untuk mengenal pasti apabila cuba mengingati kembali lafaz seorang diri tanpa kehadiran isteri, yang sudah lebih kurang satu tahun berlalu. Semakin saya cuba mengingati, pelbagai versi dan persoalan timbul, seperti:

"Setiap hari kenapa hairan apa lafaznya? Sebut tal** 1 atau tal** 3? Bersuara atau tidak suara ataupun dalam hati?"

“Apabila fikir tentang lafaz tal** itu, adakah ia hanya dalam fikiran sahaja atau keluar dengan suara?”

“Kenapa ingatan/memori selalu memaparkan ‘flashback’ yang berlafaz keluar dengan suara? Kadang² fikir tidak bersuara? Apa ayatnya?”

"Kalau lafaznya bersuara, adakah ayatnya lengkap dan jelas?"

“Adakah lafaz tersebut ditujukan kepada isteri atau tidak? Apa ayatnya? Adakah terdapat perkataan ‘Aku’, ‘Kau’, atau nama isteri?”

“Adakah ayatnya ‘Cer** tal** 1’ atau ‘Cer** tal** 3’ tanpa kata ganti nama langsung?”

“Adakah lafaz itu berbunyi ‘Aku cer** tal** 1 (atau 3)’ atau ‘Aku cer** “kau” tal** 1 (atau 3)’?”

“Bagaimana dan kenapa saya tidak pasti dengan ayat itu? Bagaimana mahu membuat pengesahan kalau saya sendiri susah nak pastikan? Adakah saya pasti pada awalnya/waktu itu tetapi sebab takut saya jadi ragu?”

“Entah-entah terlafaz tal** 3?! Tetapi jika sudah nervous dan ragu-ragu, ada pendapat mengatakan untuk ambil yang ringan, iaitu tal** 1. Namun, ayat yang tepat yang mana satu?”

“Ustaz Azhar Idrus kata jika lafaz ‘Aku cer**’ sahaja, ia tidak jatuh kerana tiada penerima. Adakah pada masa itu ada sebut ‘isteri’ atau nama isteri?”

“Setahu saya, perkataan seperti ‘Kalau’, ‘Akan’, atau ‘Nak’ dikira tidak sah tal**. Entah-entah masa sebut itu saya gunakan perkataan ‘Kalau’.”

“Kenapa apabila isteri bertanya ‘Apa lafaz tersebut?’, saya sukar menjawab dengan yakin?”

Saya pernah juga buat pengesahan, tetapi mahkamah telah beri keputusan bahawa ia tidak sabit. Walaupun sudah buat pengesahan, kadang-kadang saya ada perasaan patut ke saya nak buat pengesahan sekali lagi tetapi saya tetap sukar nak tahu tahap keyakinan saya sama ada yakin atau tidak yakin. 

Sehingga hari ini, walaupun sudah dapat keputusan mahkamah, saya masih mencari jawapan sama ada lafaznya itu memang keluar suara atau tidak keluar suara, saya masih tertanya² adakah lafaznya lengkap dengan menyebut/ditujukan kepada isteri/penerima, adakah perkataan "Aku" atau seumpamanya disebut? Saya sudah cuba sedaya upaya dengan mencari bantuan seperti buat pengesahan, menghubungi PAID, kaunseling dengan ustaz, bertanya dengan peguam shariah. Saya tetap risau dan paling merisaukan ialah adakah saya tidak jujur selama ini?

Mohon maaf kerana tulis terlalu panjang di sini. Terima kasih, Assalamualaikum.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan tuan :

1. Seseorang dikira berbohong hanya apabila dia tahu kebenaran dengan yakin, lalu sengaja menutup atau memutarbelitkannya. Dalam kes tuan, tuan telah berusaha sedaya upaya dengan mencari bantuan dengan membuat pengesahan di mahkamah, menghubungi PAID, kaunseling dengan ustaz, bertanya dengan peguam syariah dan senagainya. Ini bukan ciri orang berbohong atau orang yang menipu tetapi ini adalah ciri orang yang ada rasa ragu dan takut tersalah.Dan kaedah fiqh menyebut : Keraguan tidak dinamakan dusta.

 2. Tuan boleh mengetahui keyakinan sejak awal lagi dengan tuan benar-benar pasti secara jelas pada waktu kejadian setiap ucapan atau ungkapan atau perbuatan tuan. Dan setiap kenyataan dan keterangan tuan selepas itu tidak wujud keraguan, tidak berubah-ubah serta konsisten sepanjang masa. Sekiranya tuan merasakan perkara ini bermakna tuan mempunyai keyakinan yang pasti tetapi sekiranya tuan ragu-ragu dan tidak konsisten dalam ingatan, kenyataan dan keterangan maka itu bermakna tuan tidak ada keyakinan yang pasti. Dalam kaedah fiqh di jelaskan : Apa yang tidak sabit dengan yakin, maka tidak boleh dihukumkan. Atas sebab itulah apabila tuan merujuk kes ini ke Mahkamah Syariah, mahkamah menbuat keputusan bahawa talak tidak sabit atau tidak berlaku

3. Persoalan berkaitan adakah tuan menyembunyikan sesuatu. Berdasarkan kenyataan tuan secara zahir persoalan ini boleh dirumuskan seperti berikut :

    a) Adakah pada bila-bila masa tuan tahu dengan pasti lafaznya tetapi sengaja tidak memberitahu? Jawapanya tuan sendiri tidak tahu dan sedari awal sudah ada keraguan 

    b) Adakah tuan cuba mengelak mahkamah atau pengesahan atau penafi kebenaran? Hakikatnya dan kebenarannya tuan telah pergi ke mahkamah, ke PAID, berjumpa pakar atau ustaz dan peguam. Ini semua adalah bukti bahawa tuan langsung tiada niat untuk menyembunyikan sesuatu.

Kesemua persoalan dan jawapan ini adalah rumusan bahawa tuan tidak cuba untuk menyembunyi sesuatu dan tuan sebenarnya telah berusaha sedaya upaya untuk mencari kebenaran. Tuan harus yakin dengan usaha dan tindakan yang tuan lakukan itu.

Akhirnya ingin dijelaskan di sini bahawa keputusan Mahkamah Syariah itu adalah titik penamat hukum, ini kenyataan yang tuan wajib pegang dengan yakin. Apabila Mahkamah Syariah telah memutuskan “tidak sabit”, maka dari sudut syarak dan undang-undang : isu itu selesai. Kaedah fiqh menjelaskan :

حكم الحاكم يرفع الخلاف

Yang maksudnya : Keputusan hakim mengangkat khilaf dan menutup pertikaian.

Apa juga perasaan yang datang menganggu selepas pengesahan, selepas keputusan, selepas usaha besar yang tuan lakukan, yakinlah itu bukan suara iman tapi suara was-was dan keraguan. Yakinlah dengan jawapan dan keputusan yang dinyatakan oleh pihak yang berautoriti kerana sekiranya tuan cuba dan masih mencari pengesahan berulang kali selepas keputusan yang pasti itu maka ini bukan lagi berhati-hati tetapi membuka pintu was-was dan keraguan.

والله أعلم بالصواب

Sekian terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 79

message user image