BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

 

Saya ingin memohon penjelasan hukum daripada pihak Pejabat Mufti Selangor berkenaan satu isu yang serius dan memberi kesan mendalam kepada diri saya dari sudut agama dan moral.

 

Saya merupakan seorang anak perempuan dewasa. Dalam tempoh umur saya sekitar 18 hingga 21 tahun, bapa kandung saya telah beberapa kali melakukan perbuatan tidak bermoral dan melanggar batas terhadap saya sebagai anak dan mahram. Perbuatan tersebut melibatkan perlakuan berunsur seksual dan sentuhan yang tidak dibenarkan menurut syarak. 

 

Saya ingin menegaskan bahawa perbuatan tersebut tidak pernah berlaku atas kerelaan saya. Saya berada dalam keadaan takut, tertekan secara emosi, serta bimbang akan kesan terhadap institusi keluarga, menyebabkan saya tidak berani untuk melawan atau bersuara ketika kejadian berlaku.

 

Setelah saya menyedari bahawa perbuatan tersebut merupakan satu bentuk penderaan dan dosa besar dalam Islam, saya telah mengambil keputusan untuk menjauhkan diri dan menghentikan sebarang situasi yang boleh membawa kepada perlakuan tersebut.

 

Apabila perkara ini dibangkitkan, bapa saya menafikan bahawa perbuatannya tergolong sebagai sumbang mahram dengan alasan bahawa tiada persetubuhan dan penetrasi berlaku, dan hanya melibatkan perbuatan yang menurutnya tidak sampai ke tahap tersebut. Beliau menyatakan bahawa tanpa persetubuhan, perbuatan tersebut tidak boleh dianggap sebagai sumbang mahram menurut agama Islam. 


Beliau juga menyatakan bahawa sentuhan berunsur seksual tidak tergolong sebagai sumbang mahram, dan berpendapat bahawa sumbang mahram hanya berlaku apabila terdapat persetubuhan, iaitu penetrasi zakar-faraj, serta mendakwa bahawa perbuatan yang dilakukannya tidak boleh dianggap sebagai hubungan seksual menurut agama. 
 

Perbuatan yang termasuk adalah menggangu anak perempuan secara seksual atau memaksa anak melakukan perbuatan seksual terhadap bapa, melakukan sentuhan atau perlakuan tidak bermoral terhadap bahagian sulit anak, serta bapa memberikan komen berunsur seksual terhadap anggota badan atau bahagian sulit anak.

 

Sehubungan itu, saya memohon penjelasan daripada pihak Mufti:

 

1.    Adakah perbuatan berunsur seksual atau sentuhan tidak bermoral, termasuk perlakuan rangsangan seksual yang dipaksa oleh bapa kandung terhadap anak perempuan dewasa, termasuk dalam kategori sumbang mahram atau dosa besar menurut hukum Islam walaupun tiada persetubuhan atau penetrasi zakar-faraj?

    2.    Apakah hukum syarak terhadap perlakuan tersebut dari sudut dosa, kesalahan, dan tanggungjawab seorang bapa terhadap anaknya?

    3.    Adakah ketiadaan persetubuhan atau penetrasi boleh dijadikan alasan untuk menafikan kesalahan perbuatan keji terhadap mahram dalam Islam?

    4.    Berdasarkan Islam, adakah sumbang mahram hanya berlaku sekiranya terdapat persetubuhan (penetrasi zakar-faraj) antara bapa dan anak perempuan, atau adakah perbuatan lain yang kurang daripada itu juga dianggap sebagai sumbang mahram?

 

Saya amat berharap dan meminta dengan rendah hati  pihak Mufti dapat memberikan penjelasan berdasarkan Al Quran, hadis, dan pandangan ulama agar perkara ini dapat difahami dengan jelas menurut hukum syarak.

 

Sekian, terima kasih atas perhatian dan penjelasan yang diberikan.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Menurut hukum Islam, sebarang perlakuan berunsur seksual, sentuhan tidak bermoral, rangsangan seksual atau paksaan yang dilakukan oleh seorang bapa terhadap anak perempuannya merupakan perbuatan haram dan tergolong sebagai dosa besar, walaupun perbuatan tersebut tidak melibatkan persetubuhan atau penetrasi zakar-faraj. Hubungan antara bapa dan anak perempuan adalah hubungan mahram muabbad yang diikat dengan larangan mutlak terhadap sebarang bentuk perlakuan seksual, sama ada melalui perbuatan, sentuhan, lisan atau isyarat, kerana ia mencabul kehormatan dan maruah yang wajib dipelihara menurut syarak.

Larangan dalam Islam bukan hanya tertumpu kepada persetubuhan semata-mata, bahkan merangkumi segala perbuatan yang membawa kepada zina dan kerosakan akhlak sebagaimana larangan Allah SWT agar tidak mendekati zina seperti firman-Nya di dalam Surah al-Isra' ayat ke-32:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)

Oleh itu, ketiadaan persetubuhan atau penetrasi tidak boleh dijadikan alasan untuk menafikan kesalahan perbuatan keji terhadap mahram. Perbuatan tersebut tetap merupakan pencerobohan kehormatan dan kezaliman yang berat di sisi syarak serta boleh dikenakan hukuman ta‘zir.

Kesimpulannya, sumbang mahram menurut Islam tidak boleh difahami secara sempit sebagai persetubuhan semata-mata, sebaliknya merangkumi semua bentuk perlakuan seksual terhadap mahram yang mencabul maruah dan kehormatan, sama ada melalui sentuhan, paksaan, rangsangan seksual atau ucapan berunsur lucah. Oleh itu, perbuatan sedemikian adalah haram, berdosa besar dan sama sekali tidak dibenarkan menurut hukum Islam.

Saudari boleh mendapatkan nasihat kekeluargaan daripada Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran untuk maklumat lanjut berkenaan perkara ini.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 69

message user image