BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ada satu kemusykilan iaitu berkaitan dengan pekerjaan saya. Saya jelaskan situasi dahulu, di tempat kerja saya terpakai waktu bekerja secara fleksibel 8.00 am - 5.00 pm / 8.15 am - 5.15 pm / 9.00 am - 6.00 pm / dan lain-lain tidak melebihi jam 9.00 am (waktu hadir) dah mesti mencukupi jam bekerja 9 Jam . Namun begitu ada beberapa bahagian di dalam syarikat/jabatan yang diputuskan oleh pihak Jabatan tidak terpakainya waktu fleksibel dan mestilah mengikut waktu 8.00 am - 5.00 pm . 
 

Untuk pencerahan, saya bekerja dia bahagian yang ditetapkan jabatan untuk hadir 8.00 am dan jika berlaku lewat beberap kali akan di beri amaran. Dan waktu mula perkhidmatan di bahagian saya bekerja adalah pukul 9.00 am namun kami sebagai pekerja perlu hadir pada 8.00 am . 
 

Soalan saya, apa hukum saya hadir lewat contohnya 8.15 am tetapi saya pulang pada 5.16 pm bagi mencukupkan 9 jam bekerja. Saya telah menulis di lembaran kehadiran saya hadir pada 8.00 am kerana kekhuatiran menerima amaran. Namun saya terap menjalankan kerja seperti biasa dan melaksanakan kerja dengan mencukupkan 9 jam bekerja seperti mana yang diperuntukkan. Apa hukumnya, bagaimana dengan pendapatan gaji saya.. saya dalam usaha untuk memastikan saya datang awal seperti yang dituntut. Saya tetap menjaga kualiti kerja cuma saya dalam usaha untuk hadir seawal mungkin. Saya amat mengharapkan bahagian saya mendapat kelulusan fleksibel. 

jazakallah.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام رحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan. Secara asasnya, dalam Islam akad pekerjaan adalah satu bentuk akad ijarah (upah) yang mengikat antara pekerja dan majikan. Pekerja wajib mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh majikan selagi mana syarat tersebut tidak bercanggah dengan syarak.

Dalam isu yang dinyatakan, walaupun sistem umum syarikat membenarkan waktu bekerja fleksibel, bahagian tempat saudara bertugas telah ditetapkan secara khusus untuk hadir pada jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Maka ketetapan ini menjadi syarat pekerjaan yang wajib dipatuhi, walaupun waktu operasi sebenar bahagian bermula pada jam 9.00 pagi.

Berkenaan hadir lewat pada jam 8.15 pagi tetapi pulang lewat untuk mencukupkan 9 jam bekerja, perbuatan ini tidak menghalalkan pelanggaran syarat waktu hadir yang telah ditetapkan. Ini kerana majikan bukan sekadar menetapkan jumlah jam bekerja, tetapi juga masa tertentu untuk kehadiran, yang mungkin berkait dengan disiplin, urusan dalaman atau keperluan organisasi. Maka, mencukupkan jam bekerja sahaja tidak menggugurkan kewajipan mematuhi waktu hadir yang telah ditetapkan.

Isu yang lebih penting ialah menulis kehadiran 8.00 pagi sedangkan hakikatnya hadir pada 8.15 pagi. Perbuatan ini termasuk dalam unsur tidak jujur dan menyalahi amanah pekerjaan. Walaupun saudara tetap bekerja dengan baik dan mencukupkan jam bekerja, rekod kehadiran yang tidak tepat tetap dikira sebagai kesalahan dari sudut syarak, kerana Islam sangat menitikberatkan kejujuran dalam urusan kerja. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Anfal ayat 27 iaitu: 

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَخُونُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ وَتَخُونُوٓا۟ أَمَـٰنَـٰتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).

Berhubung status gaji, secara umumnya gaji tersebut tidak menjadi haram secara keseluruhan, kerana kerja tetap dilaksanakan dan tanggungjawab utama dipenuhi. Namun, perbuatan memalsukan atau menidakkan rekod kehadiran tersebut berdosa dan menjejaskan keberkatan rezeki, serta wajib diperbetulkan.

Kesimpulannya, hadir lewat tanpa keizinan majikan dan merekod kehadiran yang tidak tepat adalah tidak dibenarkan dari sudut syarak, walaupun jam bekerja dicukupkan dan kualiti kerja dijaga. Sikap saudara/saudari yang berusaha memperbaiki kehadiran dan berharap kepada kelulusan fleksibel adalah satu usaha yang baik dan terpuji, namun ia hendaklah disertai dengan kejujuran dan pematuhan amanah agar rezeki yang diperoleh benar-benar halal dan berkat.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 35

message user image