BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Syarikat saya ada melakukan upacara "Sembahyang Datuk". kambing digunakan sebagai persembahan korban untuk upacara tersebut. Kambing tersebut telah disembelih mengikut cara islam (menyebut nama Allah) oleh pekerja islam dan telah dibawa mengelilingi kilang sebagai salah satu ritual upacara tersebut. Setelah selesai, kambing tersebut di bersihkan, dilapah dan dimasak oleh pekerja islam. soalan saya:

1) Adakah kambing tersebut halal dimakan?

2) Apa hukum menyertai majlis makan setelah majlis ritual itu selesai?

3)Apa hukum orang islam yang terlibat dalam penyembelihan kambing tersebut?

mohon penjelasan dan terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام رحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, isu ini menyentuh perkara akidah dan ibadah,Ia  bukan sekadar soal makanan atau muamalat semata-mata. Pertamanya, berkaitan status halal kambing tersebut, ia tidak halal dimakan, walaupun ia disembelih mengikut kaedah Islam dan nama Allah SWT disebut ketika penyembelihan. Hal ini kerana penyembelihan tersebut dilakukan dalam konteks upacara ritual “Sembahyang Datuk” yang bertujuan sebagai persembahan atau korban bagi selain Allah SWT . Dalam Islam, sembelihan yang diniatkan untuk selain Allah adalah haram, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-An‘am ayat 121 iaitu: 

وَلَا تَأْكُلُوا۟ مِمَّا لَمْ يُذْكَرِ ٱسْمُ ٱللَّهِ عَلَيْهِ وَإِنَّهُۥ لَفِسْقٌۭ ۗ وَإِنَّ ٱلشَّيَـٰطِينَ لَيُوحُونَ إِلَىٰٓ أَوْلِيَآئِهِمْ لِيُجَـٰدِلُوكُمْ ۖ وَإِنْ أَطَعْتُمُوهُمْ إِنَّكُمْ لَمُشْرِكُونَ

Maksudnya:Dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya, kerana sesungguhnya yang sedemikian itu adalah perbuatan fasik (berdosa); dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantah (menghasut) kamu; dan jika kamu menurut hasutan mereka (untuk menghalalkan yang haram itu), sesungguhnya kamu tetap menjadi orang-orang musyrik.

Kedua, mengenai hukum menyertai majlis makan selepas ritual tersebut, hukumnya haram dan dilarang bagi orang Islam. Hal ini kerana ia melibatkan pemakanan daging yang haram serta dikira sebagai satu bentuk penglibatan tidak langsung dan pengiktirafan terhadap ritual syirik tersebut. Islam melarang umatnya daripada menghadiri atau menyertai apa-apa majlis yang berkaitan dengan perbuatan syirik atau maksiat, lebih-lebih lagi apabila melibatkan makanan hasil daripada upacara tersebut.

Ketiga, berhubung hukum orang Islam yang terlibat dalam penyembelihan kambing tersebut, perbuatan itu adalah haram dan berdosa besar, malah boleh membawa kepada bahaya terhadap akidah sekiranya dilakukan dengan pengetahuan dan kerelaan bahawa sembelihan itu adalah sebahagian daripada ritual keagamaan atau pemujaan selain Allah SWT. Ini kerana penyembelihan bagi tujuan ritual syirik termasuk dalam kategori perbuatan yang dilarang keras dalam Islam. Sekiranya dilakukan dalam keadaan tidak mengetahui hakikat sebenar upacara tersebut, maka individu berkenaan wajib segera bertaubat dan tidak mengulanginya setelah mengetahui hukumnya.

Kesimpulannya, kambing yang disembelih bagi tujuan ritual “Sembahyang Datuk” adalah haram dimakan, menghadiri dan menyertai majlis makan daripadanya adalah tidak dibenarkan, dan penglibatan orang Islam dalam penyembelihan tersebut adalah haram serta menyalahi prinsip tauhid. Umat Islam wajib menjaga akidah dan menjauhkan diri daripada sebarang bentuk amalan yang mempunyai unsur syirik, walaupun dilakukan atas alasan pekerjaan atau adat setempat.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 2

message user image