Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalaamualaikum tuan mufti. Saya ada penyakit was was yang sangat teruk dan saya selalu was was dalam bilanagn rakaat solat. Setahu saya jika seorang itu was was bilangan rakaat 2 atau 3 maka kena ambil 2 tetapi selepas saya ambil yang 2 dan solat seperti biasa selepas itu was was itu datang lagi 3 ke 4 rakaat jadi ape perlu saya lakukan jika seperti ini tuan mufti? Terima kasih tuan mufti
Jawapan
Berdasarkan soalan yang diajukan, jika was-was berlaku dalam perkiraan rakaat solat, Rasulullah SAW mengajar cara berikut:
Maksudnya: Jika salah seorang daripada kalian berasa syak dalam solatnya, dan dia tidak ingat berapa rakaat telah dia solat; tiga atau empat rakaat. Maka buanglah syak itu dan tetapkan diri atas apa yang dia yakini, kemudian dia sujud (sahwi) sebanyak dua rakaat sebelum (mengucapkan) salam, kerana jika dia solat sebanyak lima rakaat maka akan genap sempurnalah bagi dia solatnya, dan jika nyata dia solat empat rakaat, maka jadila dua sujud (sahwi) itu suatu penghinaan bagi syaitan. (Riwayat Muslim).
Mengambil bilangan rakaat yang lebih sedikit dan sujud sahwi itu bertindak sebagai penghalang kepada bisikan syaitan. Di samping itu, dalam keadaan was-was yang kronik, seseorang hendaklah berpegang kepada sangkaan yang lebih kuat atau meneruskan solat mengikut apa yang biasa dilakukannya tanpa mengulang-ulang kiraan. Solat tersebut adalah sah dan tidak perlu diulang, kerana Islam dibina atas dasar kemudahan dan menolak kesukaran.
Disarankan kepada seseorang yang selalu dalam keadaan was-was agar meninggalkan dan mengabaikan perasaan itu. Disarankan juga untuk solat bersama imam untuk mengatasi masalah tersebut. Terdapat beberapa doa yang boleh diamalkan seperti di dalam Surah Al- Mukminun ayat 97-98:-
Maksudnya: Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku (97). Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku(98).
Selain itu juga doa yang biasa diamalkan oleh Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan oleh Saidina Aisyah R.A:
Maksudnya: Wahai (Tuhan) yang membolak-balikkan hati-hati, tetapkanlah hatiku atas agama-Mu dan ketaatan kepada-Mu.
Sekian, terima kasih.