BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz, saya ada soalan berkenaan puasa.

1) Adakah batal puasa jika menelan air liur yg terdapat lapisan putih pada lidah mungkin disebabkan kering atau saya pun tidak pasti apa. Apabila saya menelannya secara biasa tiada rasa apa² namun apabila saya Cuba mengoreknya, ada cebisan halus kecil putih yang keluar dan sangat sukar untuk membersihkannya kerana banyak di atas lidah. 

2) adakah batal puasa jika menelan lapisan putih pada Gigi atau dikenali sebagai tahi Gigi. Saya perasan ada sesuatu pada Gigi tp saya menariknya guna lidah, lapisan putih yg muncul dan saya meludahnya. Namun, saya kerap bermain lidah di permukaan Gigi dan gusi Tanpa saya sedar dan tiada rasa tebal lapisan putih yg saya rasa dan saya teruskan puasa Tanpa meludahnya. Adakah batal puasa saya? 

 

Terima kasih ustaz

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, 

1) Puasa tidak batal apabila seseorang menelan air liur sendiri, walaupun terdapat lapisan putih pada lidah, selagi mana ia tidak disengajakan dikumpulkan atau dikeluarkan lalu ditelan semula. Imam al-Nawawi berkata:

لَوِ ابْتَلَعَ مِنْهُ الرِّيقَ لَا يُفْطِرُ

Maksudnya: Sekiranya ditelan air liur maka ia tidak membatalkan puasa.

Namun, sekiranya seseorang itu telah mengeluarkan air liur dari mulutnya kemudian dia menelannya semula, maka ini membatalkan puasa. Justeru, lapisan putih pada lidah termasuk dalam keadaan semula jadi mulut dan puasa puan boleh batal jika dikeluarkan dan ditelan semula dengan sengaja. 

2) Dalam situasi yang puan alami jika tahi gigi tersebut mempunyai zat (jisim) yang dapat dirasakan maka terdapat dua keadaan, yang pertama jika sedikit, tidak mungkin diludahkan lalu tertelan, maka hal itu tidak membatalkan (puasa) kerana tidak mungkin menghalangnya seperti air liur. Jika makanannya banyak dan memungkinkan untuk diludahkan, maka kalau diludahkan tidak membatalkan puasanya. Kalau ditelan dengan sengaja, maka puasanya akan batal menurut pendapat majoriti ulama’ kerana telah menelan makanan yang masih mungkin untuk diludahkan berdasarkan pilihannya dan dalam keadaan sedar bahawa dia sedang berpuasa.

Akhir kata, jika timbul perasaan was-was terhadap sesuatu perkara, sama ada sisa makanan atau bendasing dalam mulut kita, kita perlu mengabaikan sahaja perkara itu kecuali memang puan amat yakin memang ada sisa makanan atau bendasing tersebut. Sekiranya ia hanya perasaan yang tak pasti sama ada ada atau tidak maka abaikan sahaja perasaan itu. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 2

message user image