BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Dato Mufti. Salah satu tabung yang ada di masjid kami telah dinamakan TABUNG ANAK YATIM. Bila pihak masjid buat program untuk anak-anak yatim, tentunya ibu atau ayah (yang mana masih hidup) tentunya akan hadir bagi menemani anak-anak mereka.

Boleh ke pihak masjid menggunakan juga duit dari TABUNG ANAK YATIM utk menjamu makanan untuk anak-anak yatim serta ibu atau ayah atau sesiapa sahaja yang menemani mereka?  


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Umum mengetahui tabung anak yatim bertujuan untuk mengumpulkan dana dan sumbangan khas untuk kebajikan dan keperluan anak yatim. Sesiapa yang tidak dikategorikan sebagai anak yatim maka tidak boleh menerima manfaat hasil daripada kutipan tabung anak yatim. Hal ini kerana ia telah dikhususkan kepada kebajikan anak yatim sahaja. Perkara ini seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam Minhal al-Talibin berkenaan pengkhususan sedekah dan wakaf:

‌إذَا ‌شَرَطَ ‌فِي ‌وَقْفِ ‌الْمَسْجِدِ اخْتِصَاصَهُ بِطَائِفَةٍ كَالشَّافِعِيَّةِ اُخْتُصَّ

Maksudnya: Jika telah disyaratkan untuk mewakafkan masjid dengan dikhususkan kepada kelompok tertentu seperti pengikut mazhab al-Syafi'i maka perlu dikhususkan.

Oleh itu, tabung anak yatim tersebut tidak boleh dijadikan sebagai perbelanjaan jamuan makanan kepada selain anak yatim iaitu seperti waris atau peneman anak-anak yatim tersebut. Jamuan makanan umum untuk orang ramai perlulah digunakan daripada sumber tabung masjid dan bukan pula daripada tabung anak yatim.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

                                                                                             


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 2

message user image