BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, majikan saya mengadakan majlis sambutan Tahun Baru Cina 2026 bersama pelangan syarikat kami dan akan menghidangkan arak. Majlis itu diadakan pada bulan Ramadhan dan akan diadakan pada malam hari. Saya diminta untuk hadir ke majlis itu. Apa kah hukumnya jika saya hadir?

Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Dimulakan dengan memetik firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya ( Surah al-Maidah (90)

Secara umumnya, Islam melarang umatnya berada di dalam majlis yang menghidangkan arak. Hadis daripada Abu Daud meriwayatkan di dalam sunannya dari Ibn Umar R.A :

نَهَى رسُولُ الله صلَّى الله عليه وسَلَّم عَنِ الجُلُوسِ عَلَى مَائِدَةٍ يُشربُ عَلَيهَا الخَمْرُ

Maksudnya: Rasulullah S.A.W melarang duduk pada hidangan yang diminum arak di dalamnya.

Larangan ini bertujuan untuk menjaga maruah seorang Muslim dan mengelakkan diri daripada terjebak atau dilihat menyokong perbuatan yang haram, walaupun anda sendiri tidak meminumnya.

Memandangkan majlis ini diadakan pada waktu malam di bulan Ramadhan, sensitiviti terhadap ibadah adalah lebih tinggi. Kehadiran di tempat yang menghidangkan arak boleh menjejaskan keberkatan puasa dan kualiti ibadah malam (seperti solat Tarawih) yang sepatutnya diutamakan. Sebagai pekerja, anda berhak untuk memohon pengecualian atas dasar kebebasan beragama dan sensitiviti ibadah di bulan Ramadhan. Kebanyakan majikan di Malaysia biasanya memahami perkara ini jika dijelaskan dengan baik dan sopan. Sekiranya majlis sambutan Tahun Baru Cina tersebut hanya majlis sambutan keraian biasa yang tiada dihidangkan arak dan tiada unsur-unsur maksiat lain, maka pada keadaan sebegini tuan dibenarkan untuk menghadirinya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

                                                                                                                           


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 41

message user image