Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustazah/Ustaz,
Saya ingin bertanya tentang perihal rujuk. suami melafazkan rujuk beberapa hari sebelum habis iddah melalui voice note, sy menegaskan tidak bersetuju. Kami bercerai atas kerana suami curang lebih dari 3 kali dan berlaku zina. sukar bagi saya untuk kembali rujuk. beliau telah memadam voice note tersebut dan ada juga menyatakan dia pun bukan nak rujuk. tiada pengesahan di mahkamah dilakukan kerana beliau menyatakan tidak percaya hukum2 dunia. kini kami dari segi law nya sudah officially bercerai. dan masih tiada pengesahan dilakukan. semasa masih berkahwin beliau pernah melafazkan taklik berbunyi - jika ada msg mana mana perempuan jatuh talak dan jika da msg mana mana perempuan hingga jatuh rasa suka juga jatuh talak. kebetulan beliau suruh anak guna fone spare beliau dan saya jumpa note yg ditulis beliau utk kekasihnya memujuk untuk unblock, untuk terima beliau semula dan menyatakan akan menunggu kekasih hingga bila bila. adakah taklik ini dikira melanggar taklik? dan untuk rujuk tadi, adakah boleh jika saya terus memfailkan penceraian semula atau perlu menunggu pengesahan rujuk dahulu?
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan :
Rujuk ialah mengembalikan isteri ke dalam ikatan perkahwinan suami ketika iddah talak raj‘i dan rujuk juga adalah hak suami selagi masih dalam tempoh iddah, dan tidak disyaratkan persetujuan isteri menurut jumhur fuqaha’. Penolakan isteri juga tidak membatalkan rujuk jika rujuk itu benar-benar berlaku dan memenuhi syarat.
Walau bagaimanapun, disyorkan agar puan merujuk perkara ini dengan kadar segera ke mana-mana Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran bagi mengesahkan lafaz rujuk tersebut sama ada ia sah atau tidak untuk tindakan lanjut ke Mahkamah Syariah. Ini kerana Mahkamah Syariah adalah pihak yang berautoriti dalam mengesahkan lafaz rujuk yang berlaku.
Berkaitan dengan lafaz taklik yang suami puan ucapkan turut perlu dilaporkan serta disahkan oleh pihak mahkamah Syariah, tanpa perlu menunggu pengesahan lafaz rujuk terlebih dahulu.
Sekian terima kasih