Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum w.b.t.
Nama saya Mohd Fadly berasal dari Kelantan, menetap di Seremban dan bekerja di Kuala Lumpur. Saya berumur 50 tahun dan mempunyai isteri serta mempunyai 3 orang anak.
Saya ingin bertanya berkaitan lafaz taklik. Dua tahun lepas saya adalah seorang yang ketagih bermain judi mesin slot dalam talian dan menyebabkan saya sentiasa menghadapi masalah kewangan dan prestasi kerja yang merosot. Saya juga kadang kadang lalai menunaikan tanggungjawab saya sebagai muslim dan sebagai ketua keluarga.
Satu hari, selepas saya berjudi slot mesin tiba tiba saya rasa teramat menyesal dan berjanji tidak akan berjudi lagi namun saya tahu saya akan gagal kerana ini bukanlah kali pertama saya berjanji tetapi saya tetap akan berjudi semula.
Setelah puas saya mencari jalan bagaimana untuk saya berhenti dan pada hari itu juga saya mengambil wudhu dan sholat taubat 2 rakaat. Saya berdoa dan bertaubat untuk tidak lagi bermain judi TETAPI kali ini saya sertakan sekali dengan lafaz taklik seperti ini. "Ya Allah, kalau selepas ini aku berjudi mesin slot lagi maka akan jatuhlah talak keatas isteriku"
Lafaz taklik ini saya ucapkan dengan jelas secara lisan dan dalam hati semasa saya berdoa selepas sholat taubat.
Ketika saya berlafaz taklik itu saya tidak mempunyai saksi atau dihadapan sesiapa pun. Hanya saya dengan Allah.
Alhamdulillah selepas saya berlafaz taklik itu sejak dua tahun lepas sampai sekarang saya tidak lagi berjudi mesin slot kerana takut dengan taklik saya.
Buat pengetahuan tuan, isteri saya. mak mertua saya dan keluarga saya tahu akan perkara ini kerana saya sendiri mengumumkan dengan niat menghindari sesuatu yang tak pasti di masa hadapan.
Persoalan saya:
1. Saya disuruh oleh ahli keluarga saya untuk menarik balik lafaz itu kerana bimbang saya mungkin akan melanggarnya satu hari nanti dan isteri saya sentiasa dalam keadaan sedih..takut..bercampur gaul perasaannya disebabkan lafaz taklik saya itu. Apakah boleh lafaz taklik saya itu ditarik balik?
2. Bolehkah lafaz taklik dibuat keatas perbuatan yang haram tanpa ada kaitan dengan hubungan suami isteri dengan harapan agar perbuatan itu tidak lagi diulangi?
3. Adakah sah lafaz taklik saya itu dengan hanya bersaksikan Allah.
4. Semasa saya bertaklik itu saya tidak pasti sama ada saya betul betul maksudkan akan jatuh talak atau sebab untuk saya menghindari dari bermain judi lagi.
5. Kesan dari perkara ini menyebabkan hubungan saya dengan isteri sentiasa tegang dan isteri saya jadi takut dan curiga dengan statusnya.
Saya buntu dan tidak tahu apa yang patut saya lakukan.
Mohon penjelasan dari pihak tuan dan saya bersedia sekiranya memerlukan penjelasan lanjut dari saya.
Sekian Terima Kasih.
Fadly.
Jawapan
Ucapan suami kepada dirinya sendiri: "Ya Allah, kalau selepas ini aku berjudi mesin slot lagi maka akan jatuhlah talak ke atas isteriku" boleh dianggap sebagai lafaz taklik talak sorih (jelas) yang sah walaupun tanpa niat menceraikan isteri.
Menjawab persoalan yang diajukan:
1. Taklik talak yang dilafazkan oleh suami tidak boleh ditarik balik atau dibatalkan .
2. Taklik talak sah walaupun dikaitkan dengan perkara haram seperti perlakuan zina, meminum arak atau sebagainya.
3. Taklik talak sama seperti lafaz talak. Ia sah walaupun tidak diucapkan di hadapan saksi dan lafaz itu diucapkan di mulut dan bukan di dalam hati.
4. Berdasarkan kenyataan yang diberikan, lafaz taklik talak yang diucapkan adalah sorih (jelas), maka ia sah walaupun tidak diniatkan talak atau dengan niat lain seperti mencegah diri daripada melakukan sesuatu perkara.
5. Dalam hal ini, secara hukum dan akhlak Islam, suami wajib menghilangkan rasa takut dan curiga isteri dengan menenangkan isteri dan menjelaskan bahawa pihak suami akan sentiasa peka, telus dan jujur dalam menghadapi situasi taklik talak ini dan suami akan segera memaklumkan kepada isteri sekiranya berlaku sebarang pelanggaran atau sebagainya.
Dan antara tindakan atau jalan yang paling efektif adalah menbawa isteri untuk berjumpa dengan pegawai di Pejabat Agama Islam atau Jabatan Agama Islam bagi mengikuti sesi penjelasan terperinci apakah implikasi yang boleh menyebabkan status taklik itu boleh menyebabkan jatuh talak atau sebaliknya. Dengan ilmu dan maklumat yang isteri perolehi itu pasti akan dapat menghilangkan ketakutan, curiga dan ragu-ragu. Insya Allah
Sekian terima kasih