BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ada pertanyaan. sebagai seorang mahasiswa yang pertama kali mengundi di PRN Sabah baru baru ini, saya telah menerima sampul berisi duit  dari suatu parti politik sewaktu PRN itu.

soalan saya:

1.apa status duit itu. adakah rasuah?

2. kalau duit itu rasuah. bagaimana mana saya mau sucikan dan jauhkan diri saya dari duit rasuah itu? boleh kah saya beri duit itu kepada baitulmal? atau pulangkan kepada parti politik itu? tapi kalau pulang kepada parti politik itu saya masalah sebab tidak tahu duit itu sumber ari calon parti itu atau duit parti itu. ini yang mengelirukankan saya. mohon pencerahan.

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد 

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, wang syubhah atau wang yang meragukan merupakan harta yang diperolehi dan diragui status halalnya, atau erti kata lain wang yang dihasilkan daripada aktiviti yang tidak diketahui status halal atau haram dan bercampur dengan perkara yang dilarang oleh Syarak, sebagaimana hadis daripada Nu’man bin Basyir RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ الحلالَ بيِّنٌ وإنَّ الحرامَ بيِّنٌ وبينهما أمورٌ مُشتبِهاتٌ لا يعلمهنَّ كثيرٌ من الناس فمنِ اتَّقى الشُّبُهاتِ استبرأ لدِينِه وعِرضِه، ومن وقع في الشُّبهاتِ وقع في الحرامِ ، كالراعي يرعى حول الحِمى يوشكُ أن يرتعَ فيه، ألا وإنَّ لكلِّ ملكٍ حمًى، ألا وإنَّ حمى اللهِ محارمُه 

Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara samar (syubhat) yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga (menjauhi) perkara syubhah (kesamaran), maka ia telah menyelamatkan agama dan maruahnya. Dan sesiapa yang terjatuh di dalam (melakukan) perkara syubhah, sama seperti ia terjatuh di dalam (melakukan) perkara yang haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya. (Riwayat al-Bukhari)

Adapun, jenis wang syubhah juga dikategorikan sebagai wang tidak patuh Syariah. Wang atau harta tidak patuh Syariah tidak boleh digunakan untuk kepentingan diri sendiri. Sebaliknya wang tersebut hendaklah diserahkan untuk kegunaan umum melalui Baitulmal. 

Satu ketetapan berkenaan penyaluran wang tidak patuh syariah atau wang haram ini juga telah dibuat melalui keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Bil. 1/2009 pada 18hb. Mac 2009 yang menyatakan:

  1. Wang tidak patuh syariah yang diperolehi boleh dijadikan sumber baitulmal dan harus dimasukkan ke dalam akaun baitulmal.
  2. Penggunaan wang tidak patuh syariah harus untuk kegunaan menjalankan operasi perjalanan kerja di MAIS seperti pembinaan, penyelenggaraan bangunan, emolumen, pendidikan, pertanian, penyelidikan, perubatan, kemudahan asas seperti pembinaan dewan, tandas, jambatan dan lain-lain untuk kegunaan umum.

Oleh yang demikian, disarankan agar pihak tuan merujuk kepada kaedah dan proses penyaluran wang tidak syariah di Baitulmal negeri yang tuan menetap.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 39

message user image