Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tumpg tanya.. apakah hukum KLO masuk pelaburan forex melalui org tengah yg sudah mempunyai lesen dari bank negara (BNM), suruhanjaya sekuriti..adakah haram jugak?
*Membeli dan menjual mata wang asing dalam talian melalui website broker.
*Dana yg deposit kn akan dimainkan dalam PERDAGANGAN DALAM TALIAN CRYPTO & BTC
*Perdagangan diproses oleh astroboot dan smart AI
Terima kasih
Jawapan
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 menyatakan:
“Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa perdagangan pertukarang mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platform elektronik yang ada pada masa ini adalah haram kerana ia bercanggah dengan kehendak syarak dan juga tidak sah di sisi undang-undang negara.”
Merujuk kepada persoalan, individu yang terlibat dengan perdagangan ini walaupun melalui orang tengah yang mempunyai lesen dari Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan SSM adalah juga tidak dibenarkan. Perlu difahami bahawa fungsi BNM adalah untuk mengawal kestabilan kewangan dan melindungi pengguna dari penipuan. Ia tidak menilai akad Syariah trading iaitu forex masih boleh diluluskan. Manakala SC berperanan mengawal pasaran modal yang mempunyai senarai sekuriti patuh Syariah dan tidak meliputi forex dan sebagainya. Begitu juga SSM merupakan tempat daftar syarikat yang sah untuk beroperasi di Malaysia tidak melibatkan penilaian Syariah. Mempunyai lesen tersebut tidak bermakna sesorang Muslim berhak untuk terlibat dengan perkara yang diharamkan Syarak.
Walaupun perdagangan diproses oleh astroboot dan smart AI, ia tidak mengubah hukum bahkan lebih jelas menunjukkan perdagangan yang mempunyai akad yang tidak jelas dan mempunyai unsur gharar kerana diuruskan oleh sesuatu yang tidak diketahui.
Sekian. Terima kasih.