Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. saya ingin bertanya tentang syarat sah ibu dan anak susuan.
1) jika saya memberikan susu yang telah dipam dan memasukkan ke dalam botol susu. adakah sah dari segi syarak?
2) bolehkah saya menyusukan bayi tersebut untuk dijadikan sebagai anak susuan kerana kasihan akan bayi tersebut tiada bapa (anak tak sah taraf)
3) jika sah, bayi tersebut (lelaki) tidak boleh mengahwini saya, ibu saya, anak perempuan saya dan siapa lagi ya?
Jawapan
Berikut adalah jawapan bagi persoalan yang diajukan:
1) Perbuatan susuan tersebut adalah sah dan sabit hukum anak susuan jika memenuhi syarat-syarat lain seperti lima kali susuan secara berasingan dan secara kenyang.
2) Puan boleh menyusukan anak yang tak sah taraf untuk dijadikan sebagai anak susuan.
3) Perhubungan antara anak susuan dengan ibu susuannya adalah sama seperti anak dan ibu kandungnya. Menyusukan anak susuan dianggap seperti melahirkan anak tersebut. Siapa yang anak kandung itu tidak boleh nikahi, begitu juga anak susuan tersebut. Oleh itu, anak lelaki susuan puan tidak boleh bernikah dengan puan, ibu puan dan ke atas, anak-anak perempuan puan dan ke bawah serta adik beradik perempuan puan. Anak lelaki susuan puan juga tidak boleh berkahwin dengan ibu suami puan dan ke atas serta adik beradik perempuan suami puan.
.
Sekian, terima kasih.