BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan/Puan

saya ingin beberapa penjelasan berkenaan dengan pembahagian harta faraid arwah ibu saya, kami ada 4 orang adik beradik dan ayah kami masih hidup dan juga ibu kepada arwah ibu saya masih hidup (Nenek kami). kami adik beradik telah menebus emas milik arwah mak saya , dan nilai emas yang perlu ditebus RM6651 . Jumlah emas keseluruhan nya ialah RM13,582 . Jumlah seleps ditolak dari yang kami tebus, berjumalah RM6931 , kami adik beradik dan ayah bersetuju untuk difaraidkan mengikut peratus pembahagian yang dibenarkan. Ayah saya 1/4 , Nenek saya 1/6 . Adik lelaki saya masing2 mendapat 2 bahagian dari baki, saya dan adik perempuan mendapat 1 bahagian dari baki.

Ayah kami terlupa bahawa arwah ibu saya masih ada hutang dengan adik nya yang perlu dibayar. Pihak kami adik beradik tidak tahu berkenaan hutang tersebut , dan pembahagian faraid telah dilaksanakan, Masing- masing telah mendapat bahagian .Persoalan saya, adakah kami perlu pulangkan semula jumlah hutang yang perlu dilunaskan. Dan apa hukum nya sekiranya ada yang dari kami telah menggunakan wang tersebut untuk sedekah kepada orang. 

Diharap pihak tuan/puan dapat menjawab persoalan agar pihak saya dapat membuat keputusan yang baik. Sekian terima kasih. 


message user image

Jawapan  

 وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد 

Menjawab soalan yang diajukan, melunaskan hutang si mati perlu disempurnakan sebelum pembahagian harta pusaka dilakukan. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Nisa' ayat 11:

مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ

Maksudnya: (Pembahagian itu, iaitu harta pusaka) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya (si mati).

Oleh itu, menjadi tanggungjawab kepada waris untuk memastikan bahawa hutang si mati dilunaskan terlebih dahulu sebelum harta pusaka si mati difaraidkan. Sekiranya harta itu telah difaraidkan dan terdapat hutang yang belum dilunaskan, maka setiap waris hendaklah memulangkan semula harta yang diperolehi berdasarkan nisbah faraid yang diterima untuk membayar hutang tersebut. Ini bermakna hutang tersebut perlu 'difaraidkan' antara waris bagi mengetahui berapa jumlah harta pusaka yang perlu diserahkan untuk membayar hutang.

Seandainya harta tersebut telah dibelanjakan atau disedekahkan, maka ia perlu diganti.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 33

message user image