Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ingin bertanya berkaitan harta milik arwah ibu bapa saya. Ibu saya baru saja meninggal dunia bulan lepas. Ibu saya ada seutas gelang emas yang berada di pajak gadai Islam Ar Rahnu. Sebelum meninggal, ibu saya meminta adik saya untuk menebus gelang tersebut. Ibu juga meminta adik saya untuk memiliki gelang tersebut kerana dia yang menebus. Selepas ibu meninggal, adik saya telah menebusnya. Soalannya, adakah gelang tersebut perlu di faraidkan atau terus menjadi milik adik saya? Kami adik beradik yg lain tiada halangan dan bersetuju sepenuhnya kerana itu permintaan ibu saya. Dari sudut agama bagaimana ya? Adakah perlu di faraidkan dulu atau bagaimana? Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, barang kemas yang telah ditebus oleh adik puan itu bukan miliknya, kerana yang menggadaikannya adalah arwah ibu puan. Apabila ibu puan meninggal dunia, maka waris hendaklah melunaskan bayaran tersebut menggunakan harta peninggalan arwah ibu puan, kerana ia dikira sebagai hutang si mati yang wajib dibayar. Adapun arwah ibu puan yang menyatakan hasrat agar emas itu ditebus dan dimiliki oleh adik puan itu hanyalah hasrat beliau sahaja.
Dalam situasi ini, barang kemas yang telah ditebus oleh adik puan itu merupakan harta si mati yang perlu dibahagi secara faraid kepada ahli warisnya. Hal ini kerana emas pajak itu tidak menjadi milik mutlak adik puan yang menebusnya dengan duit sendiri. Ia tetap dikira sebagai harta pusaka si mati yang perlu dibahagikan secara faraid kepada waris yang berhak. Akan tetapi waris yang menebus emas tersebut berhak menuntut semula wang yang dibayar untuk tebusan dan lebihan nilaian emas dikira sebagai harta pusaka yang perlu diagihkan secara faraid.
Sekiranya adik puan yang menebus itu menginginkan emas tersebut, nilai emas perlulah ditolak jumlah hutang gadaian yang dibayarnya, dan sekiranya terdapat baki (lebihan) daripadanya itu dianggap bahagian adik puan. Namun, sekiranya terdapat lebihan nilai emas, maka perlu dibahagikan mengikut hukum faraid kepada semua waris yang berhak. Adapun sekiranya waris yang lain tiada halangan dan bersetuju sepenuhnya melepaskan hak masing-masing ke atas barang kemas tersebut (takharuj) untuk diberikan kepada adik puan yang menebusnya, konsep ini adalah dibenarkan dalam Islam dengan syarat semua waris yang terlibat bersetuju.
Sekian, terima kasih.