Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Baru baru ini saya ke China dan di sana saya ada melawat Ancient Town. Semasa saya berjalan di laluan pejalan kaki, saya ada ternampak tumpahan cecair berwarna kuning. Di situ memang saya nampak ada anjing berkeliaran. Saya tak pasti itu air kencing anjing atau benda lain. Kalau saya terpijak, saya perlu sertu ke tapak kasut saya? Atau saya perlu ignore sahaja sebab tidak pasti cecair apa. Saya sendiri pun tidak pula cuba untuk hidu cecair itu di kasut.
Soalan kedua, jika itu memang air kencing anjing, kemudian saya berjalan dengan kasut itu di permukaan berbatu-batu, kemudian, bila cek di tapak kasut, ada kesan debu sahaja, tiada lagi cecair yang basah, adakah air kencing itu masih dikira boleh berpindah?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan,
1) Status Cecair yang Tidak Pasti
Dalam hukum syarak, sesuatu perkara itu kekal pada hukum asalnya iaitu suci selagi tidak terbukti secara yakin adanya najis. Oleh itu, tidak perlu menyertu atau membasuh tapak kasut tersebut. Ini kerana puan hanya "nampak" cecair kuning dan "nampak" anjing berkeliaran, tetapi tidak mempunyai keyakinan 100% bahawa itu adalah air kencing anjing. Ia mungkin air karat, air minuman yang tumpah, atau cecair lain. Berdasarkan kepada kaedah fiqh ada menyatakan:
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan (syak).
2) Tapak kasut yang diyakini terkena air kencing anjing, apabila hilang kesan najis tersebut kerana debu tanah, maka ia tidak memindahkan najis ke tempat lain. Namun tapak kasut tersebut tidak suci selagi tidak disertu.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih