Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ada sedikit pertanyaan berkaitan ibadah korban.
Pada penghujung tahun 2025, saya telah menerima bonus dari syarikat. Saya maklumkan pada ayah saya bahawa saya ingin membuat korban pada tahun 2026 di atas nama ayah sebanyak 1 bahagian dan di atas nama arwah ibu sebanyak 1 bahagian menggunakan wang bonus tersebut.
Saya ingin bertanya sama ada boleh untuk saya melaksanakan ibadah korban untuk ibu saya yang telah meninggal dunia atau sekiranya tidak boleh, apakah ada cara lain untuk saya gunakan bonus itu bagi manfaat arwah ibu saya.
Sekian, terima kasih.
Jawapan
Ibadah korban merupakan satu amalan mulia sebagai tanda ketaatan kepada Allah SWT dan cara terbaik untuk berbakti kepada orang tua. Berikut adalah penjelasan hukum mengenai niat puan:
Harus melakukan korban untuk si mati jika beliau telah mewasiatkan agar dilakukan korban untuknya, atau mengizinkan kepada warisnya dalam keadaan dia masih hidup. Jika tiada wasiat atau keizinan daripada si mati, tidak sah korban yang dilakukan. Ini adalah pandangan mazhab al-Shafi’i.
Walaupun tidak boleh melakukan korban atas nama ibu (tanpa wasiat), saudari masih boleh menggunakan wang tersebut untuk memberi manfaat pahala kepada beliau melalui cara puan melakukan korban atas nama puan sendiri (sebagai pemilik wang), kemudian semasa niat, puan memohon kepada Allah SWT agar pahalanya dikongsi atau dihadiahkan kepada arwah ibu. Cara ini dibenarkan dan pahalanya sampai kepada si mati mengikut pandangan ramai ulama.
الله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.