BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya tentang solat berjemaah dan was was.

Kebelakangan ini, saya mengalami waswas yang amat teruk dan saya cuba untuk mengatasinya. Namun, kadang-kadang saya terulang juga. Selalunya kalau saya ulang, saya mungkin lambat sedikit daripada imam, saya mungkin rukuk apabila imam sujud atau iktidal. Kadang-kadang saya agak takut ketika jadi makmum masbuq, kerana kita perlu ikut imam walaupun tak habis bacaan al-Fatihah.

Tetapi ketika saya solat Zohor tadi, saya mengalami waswas teruk dan saya ulang ayat terakhir beberapa kali sehingga imam sudah sujud kedua. Saya rukuk dan imam bangun pada masa yang sama dan saya tidak sempat to'maninah dengan imam. Saya kemudian niat mufaraqah dan sambung solat saya.

Soalan saya adalah :

1) Adakah betul tindakan saya dan adakah sah solat saya?

2) Apakah hukum saya lambat daripada imam kerana was was mengulang bacaan al-Fatihah?

3) Apa perlu buat sekiranya saya mengulang-ulang bacaan ketika makmum masbuq?

4) Adakah cara untuk mengatasi waswas ini dengan mengabaikan perasaan tersebut dan baca sekali sahaja?

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Menjawab soalan yang diajukan:

1. Kesukaran menyempurnakan bacaan surah al-Fatihah kerana waswas boleh dianggap sebagai keuzuran yang membenarkan makmum tertinggal 3 rukun panjang di dalam solat. Tindakan berniat mufaraqah atau keluar dari mengikuti imam sebagaimana yang dilakukan, tidak menyebabkan solat terbatal, bahkan solat berkenaan sah. Namun ia bukanlah sesuatu perkara yang boleh diamalkan. 

2. Mengulang-ulang bacaan surah al-Fatihah kerana waswas tidak membatalkan solat. Namun perbuatan itu tidak seharusnya diamalkan.

3.  Bagi situasi makmum masbuq, makmum perlu rukuk bersama imam walaupun makmum tidak sempat menghabiskan bacaan al-Fatihah.

4. Ya, benar. Cara untuk mengatasi waswas adalah dengan mengabaikan perasaan tersebut dan baca sekali sahaja.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 41

message user image