Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya baru tutup akaun bank konvensional. Menurut kefahaman saya, interest yang diterima sebelum ini riba. Bagaimana untuk sucikan duit (interest) yang diterima sebelum ini. Dari segi jumlah, akaun ini telah lama dibuka (lebih 10 tahun dan ketika dibuka status konvensional) dan saya tidak pasti jumlahnya kerana akaun ini hanya digunakan sebagai akaun transit untuk menguruskan perbelanjaan harian.
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, interest (faedah) yang diterima daripada akaun konvensional adalah haram kerana terdapat unsur riba yang dikategorikan sebagai wang tidak patuh Syariah. Hanya wang pokok yang didepositkan sahaja yang boleh digunakan. Untuk mengenalpasti faedah yang diterima sepanjang 10 tahun yang lalu, puan boleh merujuk penyata bank untuk mengetahui jumlah faedah sebenar untuk mengasingkan jumlah wang yang halal dan haram. Jika tidak dapat diperolehi, puan boleh membuat andainya jumlah tertentu faedah yang diterima dan menyerahkannya kepada pihak Baitulmal untuk digunakan kepada kemaslahatan umum umat Islam.
والله أعلم بالصواب
Sekian. Terima kasih.