Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum. Saya ada satu pertanyaan. Pada 4hb saya datang period. Tapi sudah suci pada 9hb. Namun pada 14hb saya dapati ada darah berwarna coklat. Dan darah ini datang sikit2 sampai ke hari ini 16hb. Pertanyaan saya adakah darah yg keluar ini dikira darah haid? Dalam tempoh suci ini saya ada berpuasa. Adakah puasa saya diterima?
Saya juga nak tahu kalau period datang berpanjangan, pada hari ke 15 sudah perlu mandi untuk mengerjakan ibadah seperti biasakan. Tapi bagaimana kita nak kira pula bila haid kita yg seterusnya? Sedangkan haid masih je ada selepas hr ke 15 tp sikit2 darahnya.
Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan
Secara asasnya, tempoh maksimum haid adalah 15 hari. Manakala tempoh minimum suci antara dua haid ialah 15 hari suci. Merujuk kepada soalan yang diajukan, darah yang keluar pada 4hb hingga 9hb (6 hari) adalah darah haid.
Apabila darah berhenti pada 9hb (5 hari tiada darah/ bersih), namun keluar darah semula pada 14hb berwarna cokelat sedikit sedikit dan berhenti pada 16hb (2 hari). Apabila tempoh tiada darah/ bersih (5 hari) diapit oleh 2 darah (4hb-9hb) dan (14hb-16h), masih dalam tempoh maksimum haid iaitu 15 hari, maka tempoh tiada darah/ bersih (5 hari) itu turut dianggap sebagai tempoh haid. Ini bermakna, solat serta ibadah puasa yang dilakukan pada masa tersebut adalah tidak sah, namun tetap mendapat pahala kerana menjunjung perintah Allah SWT. Jika perkara ini berlaku pada bulan Ramadhan, maka puasa tersebut perlu diqada’.
Sekiranya darah keluar berpanjangan dan melebihi 15 hari, ini bermakna darah haid telah bercampur dengan darah istihadhah. Pada hari ke 16 hendaklah mandi dan solat. Kemudian untuk menentukan berapa hari darah haid dan yang mana pula darah istihadhahnya ada dua cara iaitu:
1. Cara pertama ini perlu dipilih dahulu jika mampu. Iaitu perlulah dilihat kepada perbezaan bentuk-bentuk darah. Jika darah-darah itu ada yang kuat dan ada yang lemah (contohnya seperti lima hari pertama darahnya adalah berwarna hitam manakala baki hari-hari seterusnya berwarna merah) maka darah hitam dikira lebih kuat dari darah merah. Oleh itu darah hitam sahaja dikira sebagai haid. Manakala darah merah itu dikira sebagai istihadhah dan sekiranya darah merah itu berterusan beberapa bulan sekalipun selepas itu maka ia masih dikira istihadhah sehinggalah datang darah hitam semula yang cukup 24 jam sama ada berturut-turut atau berselang seli dengan suci, barulah dikira haid baru. Ini kerana pengecaman darah berdasarkan kepada bentuk darah yang kuat. Jika tidak jelas perbezaan bentuk darah maka hendaklah beralih cara yang kedua iaitu:
2. Pandukan kepada adat haidnya yang terakhir. Sebagai contoh sebelum terjadinya gejala istihadhah ini haid normalnya sebelum ini ialah 7 hari manakala suci selepasnya ialah 20 hari, maka untuk kali ini jadikan 7 hari yang pertama sahaja sebagai haid, manakala 20 hari selepasnya adalah suci (walaupun masih ada darah, dan inilah yang dikira darah istihadhah). Selepas 20 hari itu jika masih ada darah maka ia dikira sebagai period haid yang baru pula.
Sekian, terima kasih.