Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Apakah hukum trading di prop/funded firm? Saya bertanya kepada prop firm tersebut dimanakah sumber pendapatan bisnes mereka untuk membayar upah kepada trader sebelum trader mendapat live account.Mereka menjawab daripada subscription dan daripada keuntungan copy trading.Adakah iainya halal?
Jawapan
Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 275 :
Maksudnya: Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba
Ayat ini menjadi asas bahawa setiap bentuk muamalat adalah harus selagimana ianya tidak mengandungi unsur yang diharamkan oleh syarak. Justeru, asas untuk menyertai apa-apa peluang perniagaan termasuklah trading melalui prop atau funded firm ialah memastikan model perniagaan tersebut benar-benar menepati prinsip syariah. Selagi mana ia selari dengan kehendak syarak, maka hukumnya adalah harus. Namun, antara perkara yang wajib diteliti ialah sama ada terdapat unsur riba, perjudian (maysir), gharar (ketidakpastian melampau), atau eksploitasi yang menzalimi mana-mana pihak.
Dalam konteks prop/f unded firm, jika sumber pendapatan syarikat adalah daripada yuran langganan (subscription) dan keuntungan hasil copy trading, maka ia perlu diperincikan. Yuran langganan pada asasnya diharuskan jika ia merupakan bayaran bagi perkhidmatan sebenar seperti akses kepada platform, latihan, atau peluang penilaian yang telus, bukan semata-mata “yuran penyertaan” yang bersifat spekulatif seperti skim perjudian. Begitu juga keuntungan daripada copy trading, ia hanya harus jika transaksi asas yang dilakukan adalah patuh syariah, bebas daripada riba (seperti swap/interest dalam forex konvensional), serta tidak melibatkan leverage yang membawa kepada unsur pinjaman berfaedah atau kontrak yang tidak jelas. Jika aktiviti trading tersebut sendiri mengandungi unsur-unsur yang diharamkan, maka hasil yang diperoleh daripadanya turut terkesan hukumnya.
Hal ini selaras dengan hadis yang diriwayatkan oleh al-Nu’man bin Basyir, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara samar (syubhat) yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga (menjauhi) perkara syubhah (kesamaran), maka ia telah menyelamatkan agama dan maruahnya. (Riwayat Bukhari)
Oleh itu, sekiranya masih terdapat keraguan terhadap struktur sebenar prop firm tersebut terutamanya dari sudut sumber keuntungan, bentuk kontrak, serta mekanisme trading, maka sikap berhati-hati dengan menjauhinya adalah lebih selamat. Namun begitu, jika jelas patuh syariah maka ia menjadi harus.
Sekian, terima kasih