BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ada soalan peribadi, bagaimana cara untuk menghilangkan was - was yang teruk dan fikiran kotor yang selalu datang tiba - tiba dalam fikiran?

1. Saya selesai solat saya rasa was - was jadi saya pegang seluar risau keluar air mani atau air mazi, jadi masa saya pergi tandas saya cek tiada kesan cecair yang melekat pada seluar dan tiada bau juga, tapi selepas buang air kecil saya sentuh cecair yang keluar tu putih jernih tapi bila gosokkan ada sikit cecair bewarna putih keruh tapi saya tak bau pun cecair tu, saya was - was itu air mani atau air mazi? Sebab sebelum solat tu tiba - tiba ada fikiran kotor mengganggu dalam fikiran saya, saya lawan fikiran tersebut tapi saya rasa berdebar dan cemas saya risau keluar air mani atau air mazi. Saya ada rasa letih tapi masa baca Yassin selepas solat, dan masa saya pegang seluar tu ada macam bau tapi tak pasti sama ada bau macam keputihan tapi masa selesai keluar dari tandas saya cek memang tuada apa - apa kesan cecair yang melekat pada seluar. Saya harap soalan ni ustaz/ustazah dapat reply semula sebab saya perlukan jawapan ini.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

1. Islam meletakkan sesuatu hukum itu adalah berdasarkan kepada sesuatu yang jelas, nyata dan yakin sahaja. Manakala bagi sesuatu yang tidak jelas, tidak nyata dan tidak yakin itu maka perkara tersebut adalah terkecuali dan tidak ada hukum keatasnya.  Maka ia kembali kepada kaedah fiqh yang menyatakan: 

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan. 

2. Cara untuk membezakan antara keputihan dan air mani adalah mengikut ciri-ciri setiap keduanya. Jika memenuhi ciri-ciri ini maka wajib bagi orang itu mandi wajib jika keluar air mani, sebaliknya jika hanya keputihan yang keluar maka tidak diwajibkan baginya: 

Air Mani: tanda yang telah disebutkan oleh para ulama yang menunjukan bahawa ia adalah air mani dan wajib untuk mandi wajib jika dia mendapatinya, tidak kira sama ada lelaki mahupun perempuan. Tanda-tandanya ialah :

  • Ia keluar dengan rasa lazat dan kepuasan syahwat.
  • Ia keluar pada kebiasaannya secara memancut.
  • Mempunyai bau seperti tepung yang diuli apabila ia basah atau berbau hanyir seperti bau putih telur jika ia kering.

Justeru, mengikut situasi yang tuan alami ia adalah air mazi kerana tidak menepati ciri-ciri bagi air mani kerana air mazi keluar boleh ketika permulaan syahwat dan boleh keluar setelah membuang air kecil. Hukumnya najis dan perlu disucikan dengan air mutlak.

3. Para ulama amat mengambil berat mengenai penyakit was-was kerana jika dibiarkan berlarutan boleh menjadi sesuatu yang lebih kronik. Antara kaedah yang dianjurkan oleh para ulama bagi menghilangkan perasaan was-was adalah seperti berikut :

1. Mengambil Sikap Tidak Peduli: iaitu dengan membiarkan perasaan was-was tersebut. Ini sepertimana yang dinyatakan oleh al-Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah mengenai ubat bagi penyakit was-was.

 لَهُ دَوَاءٌ نَافِعٌ وَهُوَ الْإِعْرَاضُ عَنْهَا جُمْلَةً كَافِيَةً. وَإِنْ كَانَ فِي النَّفْسِ مِنْ التَّرَدُّدِ مَا كَانَ - فَإِنَّهُ مَتَى لَمْ يَلْتَفِتْ لِذَلِكَ لَمْ يَثْبُتْ بَلْ يَذْهَبُ بَعْدَ زَمَنٍ قَلِيلٍ كَمَا جَرَّبَ ذَلِكَ الْمُوَفَّقُونَ، وَأَمَّا مَنْ أَصْغَى إلَيْهَا وَعَمِلَ بِقَضِيَّتِهَا فَإِنَّهَا لَا تَزَالُ تَزْدَادُ بِهِ حَتَّى تُخْرِجَهُ إلَى حَيِّزِ الْمَجَانِينِ بَلْ وَأَقْبَحَ مِنْهُمْ، كَمَا شَاهَدْنَاهُ فِي كَثِيرِينَ مِمَّنْ اُبْتُلُوا بِهَا وَأَصْغَوْا إلَيْهَا وَإِلَى شَيْطَانِهَا

Maksudnya: Baginya (penyakit was-was itu) ubat yang sangat bemanfaat iaitu bersikap tidak peduli secara keseluruhannya (dalam perkara yang diwas-waskan itu). Meskipun di dalam dirinya terdapat perasaan was-was, selagi mana dia tidak melihat, mengambil peduli perkara was-was tersebut maka ianya tidak akan tetap bahkan akan hilang selepas beberapa ketika. Ini sepertimana yang telah dilalui oleh mereka yang telah diberi petunjuk untuk terlepas dari penyakit was-was ini. Adapun mereka yang mendengar (mengambil peduli was-was tersebut) dan mengikutinya, was-was tersebut tidak akan hilang bahkan bertambah sehingga menjadikannya gila dan boleh jadi lebih buruk dari itu sepertimana yang kita saksikan pada kebanyakan mereka yang ditimpa penyakit was-was yang mendengar dari bisikian syaitan.

2. Bersabar Dan Terus Mencuba: Mereka yang ditimpa penyakit was-was ini sebenarnya sedang diuji. Ianya adalah ujian menentang syaitan kerana was-was itu adalah daripada syaitan. Dalam diuji, seseorang itu perlulah sentiasa bersabar dan terus berlatih untuk menghindari penyakit was-was. Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah menukilkan perkataan Sultan al-Ulama’ al-‘Izz bin Abd al-Salam yang mana menyebut:

 دَوَاءُ الْوَسْوَسَةِ أَنْ يَعْتَقِدَ أَنَّ ذَلِكَ خَاطِرٌ شَيْطَانِيٌّ، وَأَنَّ إبْلِيسَ هُوَ الَّذِي أَوْرَدَهُ عَلَيْهِ وَأَنَّهُ يُقَاتِلُهُ، فَيَكُونُ لَهُ ثَوَابُ الْمُجَاهِدِ؛ لِأَنَّهُ يُحَارِبُ عَدُوَّ اللَّهِ، فَإِذَا اسْتَشْعَرَ ذَلِكَ فَرَّ عَنْهُ

Maksudnya: Ubat bagi penyakit was-was ini adalah dengan beriktikad bahawa ianya adalah godaan syaitan dan sesungguhnya iblis, dialah yang sedang dibawa dan sedang diperangi dan baginya pahala seorang yang sedang berjihad kerana sedang memerangi musuh Allah. Sekiranya dia merasa was-was maka dia akan menghindarinya.

3. Mempelajari Tatacara Ibadah Yang Sahih: Mempelajari yang sahih dari tatacara beribadat dapat membantu dalam menghindari penyakit was-was. Seseorang yang ampuh pengetahuannya dalam soal agama akan mudah terpengaruh dan terikut-ikut dengan trend beragama tanpa ilmu yang benar dan akhirnya akan mengelirukan dirinya. Penyakit was-was akan mudah mengambil alih peranan akal dan jantung hati mereka yang beramal namun tidak mengatahui akan kesahihannya.

Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah sekali lagi menyebutkan:

أَنَّ الْوَسْوَسَةَ لَا تُسَلَّطُ إلَّا عَلَى مَنْ اسْتَحْكَمَ عَلَيْهِ الْجَهْلُ وَالْخَبَلُ وَصَارَ لَا تَمْيِيزَ لَهُ، وَأَمَّا مَنْ كَانَ عَلَى حَقِيقَةِ الْعِلْمِ وَالْعَقْلِ فَإِنَّهُ لَا يَخْرُجُ عَنْ الِاتِّبَاعِ وَلَا يَمِيلُ إلَى الِابْتِدَاعِ

Maksudnya: Sesungguhnya was-was itu tidak akan menguasai melainkan ke atas mereka yang jahil dan kurang akal yang tidak dapat membezakan (antara yang sahih ataupun tidak). Sedangkan mereka yang berada di atas hakikat ilmu dan akal tidak akan terkeluar daripada mengikut petunjuk dan tidak pula cenderung kepada perlakuan bid’ah.

4. Memohon Perlindungan Allah SWT: Syaitan akan selalu datang untuk membisikkan was-was kepada manusia. Disebabkan itu, perlindungan daripada Allah SWT teramatlah penting dalam usaha untuk mengekangnya. Dalam sebuah hadith, diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya oleh sahabat yang mana syaitan telah datang dan mengganggu ketika mana dia dalam solat dan bacaannya. Lalu Nabi SAW bersabda:

 ذَاكَ شَيْطَانٌ يُقَالُ لَهُ خِنْزِبٌ فَإِذَا أَحْسَسْتَهُ فَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْهُ وَاتْفِلْ عَلَى يَسَارِكَ ثَلاَثًا

Maksudnya: Itu adalah syaitan yang namanya Khinzib. Jika kamu merasa akan gangguannya, maka mohonlah perlindungan daripada Allah SWT dan ludahlah ke bahagian kirimu sebanyak tiga kali. (Riwayat Muslim)

 Semoga tuan dimudahkan oleh Allah SWT dan dihindarkan daripada penyakit was-was. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 40

message user image