Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum...
Saya diuji dengan was was akidah sejak beberapa bulan ini. Sya sentiasa berusaha untuk sembuh dengan sentiasa mengucapkan istiazah, syahadah dan berzikir. Suatu hari di saat saya sangat tertekan kerana saya dihubungi oleh scammer selama dua hari berturut-turut dan keadaan ini menambah tekanan saya dalam keadaan fikiran yang sedia bercelaru dan serabut dengan gangguan lintasan was was dari syaitan. Kemudian, saya berbual dengan rakan di dalam telefon menceritakan perihal gangguan scammers yang kerap mengganggu..Tiba- tiba sedang berbual itu dalan keadaan saya bengang terkeluar dari mulut saya ayat yang mengatakan dorang tu tak beriman kot... saya seolah merasakan perkataan itu yang sesuai untuk dilafazkan secara spontan terlintas di fikiran saya ayat itu sedangkan saya tidak mengetahui bangsa atau status agama scammers yang mengganggu saya... selepas saya melafazkan ayat tersebut saya tiba-tiba merasa amat takut adakah saya telah membuat tuduhan tentang keimanan orang lain??? Saya sangat takut... saya istighfar dan saya telah bertaubat kepada Allah dan mengulang2 syahadah..Saya keliru adakah saya sebenarnya telah sengaja atau tidak melafazkan ayat itu.. saya rasa sangat berdosa, takut kalau saya telah jatuh kufur dan apakah yang patut saya lakukan?? Tolonglah saya, bagaimana ikatan perkahwinan antara saya dengan suami? Ya Allah... saya saya takut dan tidak dapat menumpukan perhatian kepada tugas seharian saya kerana terlalu memiikirkan perkara ini... demi Allah saya selama ini sangat menjaga iman dan amal ibadah saya. Tolonglah saya. Terima kasih.
Jawapan
Dari segi dasar apa yang dikatakan oleh puan itu tidak lah membawa kepada hukum yang besar sehingga boleh menjejaskan keimanan puan dan keimanan orang lain. Ini kerana ia tidak disandarkan kepada sesiapa yang khusus. Perasaan sebegini yang sentiasa dinanti-nantikan oleh syaitan untuk terus menghasut dan timbul perasaan was-was yang ekstrim, bahkan boleh membawa kesan kemurungan kepada kesihatan puan.
Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku apa yang diwaswaskan (bisikan) dengannya di dalam hatinya selagimana dia tidak melakukan atau mengucapkan (apa yang diwaswaskan). (Riwayat Bukhari)
Abaikan dan cuba jauhi daripada perkara yang mungkin boleh mendatangkan lintasan-lintasan tersebut jika mampu. Seandainya didatangi lintasan seperti itu, perbanyakkanlah berzikir antaranya dengan mengucapkan لا اله إلا الله dan beristigfar kepada Allah SWT, di samping sentiasa memperbaharui syahadah sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Perbaharuilah iman kamu, Rasulullah ditanya: Bagaimana cara untuk memperbaharui iman kami. Rasulullah SAW bersabda: Perbanyakan berkata لا اله الا الله. (Riwayat Ahmad).
Sekian, terima kasih