Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamulaikum saya ke Saudi Arabia dan untuk tourism sekalian dengan umrah. Saya pergi ke Jeddah dan barangkali bermalam semalam di Jeddah dahulu dan bersiar di Jeddah hari esoknya dan hanya akan ke Makkah petang esoknya. Jadi bolehkah saya hanya pakai ihram petang nak naik train/teksi ke Makkah? Dan niat tunai umrah dari hotel di Jeddah? memandangkan bermalam semalaman di Jeddah dahulu. Minta pandangan tuan. (Self travelling dari Jerman.)
Jawapan
Dalam isu ini, saudara wajib berniat ihram di miqat Juhfah (tempat niat bagi yang datang dari arah Eropah). Hal ini disebabkan kedatangan saudara ke Arab Saudi telah mempunyai niat untuk melaksanakan ibadah umrah walaupun sebelum itu melancong terlebih dahulu di Jeddah. Namun jika saudara berniat di Jeddah (tempat penginapan) maka saudara wajib membayar dam dengan menyembelih seekor kambing kerana tidak berniat ihram di miqat yang sepatutnya.
Sekian, Terima Kasih