Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
CIMB bank ada menawarkan perkhidmatan CIMB Travelcurrency di mana kita boleh membeli mata wang asing secara dalam talian and mengambil mata wang tersebut pada tarikh dan waktu lain yang dipilih di cawangan berdekatan. Nilai mata wang yang akan diterima sudah ditentukan semasa membuat pembelian. Apakah hukum menggunakan perkhidmatan ini?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, CIMB TravelCurrency merupakan satu perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak bank di mana pelanggan boleh membeli mata wang asing secara dalam talian pada kadar yang telah ditetapkan, dan seterusnya mengambil mata wang tersebut pada tarikh serta waktu yang dipilih di cawangan bank.
Dalam menilai hukum perkhidmatan ini, perkara utama yang perlu diteliti ialah status pertukaran mata wang, kerana urus niaga mata wang termasuk dalam kategori barangan ribawi. Secara umumnya, pertukaran mata wang tergolong dalam jual beli mata wang (ṣarf), iaitu pertukaran barangan ribawi yang berlainan jenis.
Asas hukum berkaitan pertukaran barangan ribawi ini telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada ‘Ubadah bin al-Samit RA bahawa Baginda SAW bersabda:
Maksudnya: Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, dan garam dengan garam hendaklah sama timbangannya, sama nilainya, dan dilakukan secara serah-menyerah (tunai). Jika berbeza jenis-jenis ini, maka jual belilah sebagaimana yang kamu kehendaki, dengan syarat ia dilakukan secara serah-menyerah (tunai). (Riwayat Muslim)
Hadis ini menjadi asas tentang perihal penyerahan dan penerimaan (serah terima) mestilah berlaku di dalam satu majlis akad. Secara zahir, urus niaga ini melibatkan penangguhan proses serah terima mata wang, yang berpotensi menimbulkan isu taqabud tidak berlaku serta-merta.
Namun begitu, menurut pandangan fuqaha kontemporari dan resolusi badan-badan fatwa, termasuk Majma‘ al-Fiqh al-Islami, taqabud tidak semestinya secara fizikal, bahkan boleh berlaku secara taqabud hukmi (constructive possession), selagi mana:
Mata wang tersebut telah diperuntukkan secara khusus kepada pelanggan,
Pelanggan telah mempunyai hak penuh dan kawalan ke atas mata wang tersebut,
Bank bertindak hanya sebagai penjaga (wakil) sehingga mata wang diambil.
Oleh itu, proses taqabudh (serah terima) secara umumnya telah berlaku semasa selesai pembayaran dan telah berlaku taqabudh hukmi yang diharuskan oleh syarak.
Sekian, terima kasih