BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum pejabat mufti.

Pertanyaan saya adalah berkaitan korban. Syarikat saya ingin mengadakan program korban untuk pekerja yang berminat untuk berkorban.

1. Memandangkan kos korban semakin meningkat, syarikat mencadangkan untuk memberi subsidi/menanggung sebahagian kos program meliputi kos korban lembu, pengurusan dan lain-lain. Contohnya, kos lembu dan pengurusan RM7000, maka 1 bahagian dikira RM1000. Syarikat menanggung sebahagian kos RM200 untuk setiap bahagian (jumlah RM1400 untuk 7 bahagian). Adakah dibolehkan syarikat memberi subsidi/menanggung kos korban dan pengurusan bagi tujuan merendahkan harga korban setiap bahagian?

2. Sekiranya kurang penyertaan, adakah boleh syarikat menanggung kos korban bagi melengkapkan bahagian korban dan menamakan wakil korban kepada bahagian yang ditanggung syarikat? apakah kriteria yang wakil korban yang layak atau sesuai wakil korban bahagian tersebut?

Mohon bantuan pihak mufti bantu.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Secara asasnya, seekor lembu atau unta boleh dibahagikan kepada tujuh orang. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidina Jabir RA beliau berkata:

نَحَرنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عام الْحُدَيْبِيَةِ  الْبَدَنَةَ عَنْ سَبْعَةٍ وَالْبَقَرَةَ عَنْ سَبْعَةٍ

Maksudnya: Kami melakukan ibadah korban bersama Rasulullah SAW pada tahun Hudaibiah iaitu seekor unta untuk tujuh (bahagian) dan seekor lembu untuk tujuh (bahagian). (Riwayat Muslim)

Sehubungan itu, pihak syarikat diharuskan untuk menanggung kos-kos berkaitan bagi mengurangkan beban penama dalam pelaksanaan ibadah korban, selagi mana ia tidak menjejaskan rukun dan syarat sah korban tersebut.

Adapun syarat bagi wakil atau penama korban ialah hendaklah seorang Muslim dan berakal (tidak gila). Di samping itu, sebagai satu nilai tambah dari sudut kebajikan, keutamaan boleh diberikan kepada penama dalam kalangan golongan miskin atau mereka yang tidak berkemampuan untuk melaksanakan ibadah korban.

Kesimpulannya, usaha murni pihak syarikat ini amat digalakkan kerana ia membantu menghidupkan syiar ibadah korban yang merupakan sunat muakkad, iaitu sunat yang sangat dituntut. Namun demikian, pahala ibadah korban secara khusus hanya diperoleh oleh penama bagi bahagian korban tersebut, manakala pihak yang menyumbangkan dana pula memperoleh pahala sedekah, bukan pahala korban secara langsung.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 41

message user image