Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz/Ustazah.
Saya ingin bertanyakan berkenaan hukum faraid pembahagian harta pusaka. Bapa saya telah meninggal dunia pada hujung tahun lepas. Arwah ada meninggalkan sejumlah harta yang perlu dibahagikan kepada waris yang berhak. Arwah bapa saya meninggalkan seorang isteri, 4 orang anak iaitu 2 anak lelaki dan 2 anak perempuan. Ibu bapa arwah bapa saya dan semua adik beradiknya telah lama meninggal dunia.
Sehubungan dengan itu saya ingin mengetahuhui perkara berikut:
1. Siapakah yang berhak menerima harta pusaka ayah saya tersebut.
2. Berapakah bahagian masing-masing mengikut hukum faraid.
3. Perlukan saya membayar zakat harta tersebut sebelum membahagikan harta pusaka kepada waris yang layak.
Terlebih dahulu saya mengucapkan ribuan terima kasih atas perhatian pihak Uataz/Ustazah dalam melayani pertanyaan saya ini.
Sekian.
Yang benar,
Rohaidzat Bin A Manan.
Jawapan
Merujuk kepada fakta kes dan persoalan yang dikemukakan, waris yang berhak ke atas harta pusaka arwah ayah tuan adalah adalah isteri mewarisi sebanyak 1/8 bahagian, manakala dua orang anak lelaki dan dua orang anak perempuan arwah ayah mewarisi secara Asobah Bi al-Ghairi iaitu yang menghabisi dari bahagian waris yang lain. Adapun pembahagian bagi setiap seorang adalah sebagaimana berikut:
| Waris | Asal masalah | Bahagian |
|---|---|---|
| Isteri | 1/8 | 6/48 |
| Anak lelaki | Asobah Bi al-Ghairi | 14/48 |
| Anak lelaki | Asobah Bi al-Ghairi | 14/48 |
| Anak perempuan | Asobah Bi al-Ghairi | 7/48 |
| Anak perempuan | Asobah Bi al-Ghairi | 7/48 |
Namun, senarai pembahagian faraid kepada waris-waris yang dinyatakan di atas adalah hanyalah berdasarkan kepada fakta yang diberikan oleh pihak puan. Bagi mendapatkan pengiraan dengan lebih tepat, disarankan kepada pihak puan agar mendapatkan perintah faraid di Mahkamah Syariah.
Adapun, merujuk kepada persoalan tuan yang berikutnya, harta pusaka yang belum dibahagikan secara faraid kepada waris-waris tidak perlu dizakatkan kerana status pemilikan harta yang masih belum sempurna. Sekiranya pembahagian harta sudah selesai dilakukan kepada waris-waris, maka barulah waris-waris wajib mengeluarkan zakat daripada keseluruhan harta yang telah diterima dan hanya dikenakan untuk tahun semasa sahaja tanpa perlu menunggu haul.
Sekian, terima kasih.