Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan saya , saya kerja cashier Dan customer services
1. Kadang daging babi yang basah/ beku tapi dah letak dalam plastik merah adakah wap sejuk itu adalah haram disentuh ..
2. Kadang Arak saya terpaksa scan tapi saya tidak memegangnya adakah gaji saya berkat atau haram ..atau pada masa yang sama saya terpaksa memegang botol Arak itu untuk scan dekat cashier counter ..adakah haram gaji saya itu..
3. Saya kadang duduk dekat customer services , Dan ada customer ingin balut botol Arak tersebut ...dekat customer services tu semua beeragama Islam . Adalah haram saya balut botol Arak tu..
4. Kalau customer bayar daging babi melalui cash memo tapi saya hanya scan price label sebb cashier non Muslim tiada ...adakah haram jugak ke gaji saya
Minta pencerahan
Jawapan
Merujuk kepada soalan 1:
Sesuatu hukum hanya ditetapkan berdasarkan keyakinan dan bukti yang jelas, bukan atas dasar syak, andaian atau keraguan semata-mata. Ini berdasarkan kaedah fiqh:
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan(syak).
Dalam konteks ini, daging babi asalnya memang najis mughallazah, tetapi wap sejuk yang melekat pada plastik kebiasaannya ialah air dari udara yang memeluwap kerana suhu sejuk bukan air yang keluar dari daging itu sendiri. Bahagian luar atau wap tersebut dianggap bersih dan bukannya najis. Melainkan jika plastik merah itu bocor.
Manakala soalan 2 hingga 4 di huraikan jawapan seperti berikut:
Firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat 90:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini dengan menyebut satu riwayat daripada Abdurrahim bin Ghanm RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Dan sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram, Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram, Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram. (Riwayat Ahmad)
Berkaitan arak sememangnya Islam menggariskan panduan yang sangat ketat sehinggakan Allah SWT melaknat 10 golongan yang terlibat dengan perniagaan arak. Usaha mencari keberkatan dalam pekerjaan adalah tuntutan penting dalam Islam. Oleh itu, asalnya gaji dan pekerjaan tuan adalah halal dan harus, namun terdapat syubhah dalam penerimaan gaji hasil perniagaan yang menyediakan perkara yang haram. Perkhidmatan yang diberikan secara tidak langsung terlibat dengan urusniaga yang tidak patuh Syariah.
Dalam hal ini, kita disarankan oleh Nabi SAW supaya menjauhi perkara yang syubhah, agar diri dan rezeki kita terpelihara, berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada al-Nu'man bin Basyir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya ada perkara-perkara syubhah yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Maka sesiapa yang menjauhi perkara syubhah, sesungguhnya dia telah membersihkan agama dan maruah dirinya.
Justeru itu, walaupun pekerjaan anda sekarang masih dikira harus, amat digalakkan untuk berusaha mencari pekerjaan yang lebih jelas dan bersih sumbernya, agar rezeki lebih berkat, hati lebih tenang, dan ibadah pun terasa lebih ikhlas dan ringan.
Semoga Allah SWT membuka jalan rezeki yang lebih luas dan bersih buat anda, serta memberkati setiap usaha dan langkah yang anda ambil. Amin.
Sekian. Terima kasih.