Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum wbt.
Saya ingin bertanya dan mendapatkan nasihat berkenaan masalah hutang dan faraid. Untuk gambaran lebih jelas, berikut merupakan situasi kepada masalah yang sedang saya hadapi.
Pada tahun 2021, abg saya mengalami masalah kewangan yang mana beliau perlu membayar bil hospital anak berjumlah RM10 000. Abg datang ke rumah mengadu dan menceritakan masalah yang sedang dialaminya. Ketika itu kami sekeluarga iaitu ayah ibu dan saya merasa kasihan dan atas dasar keprihatinan, kami membantu dengan mendahulukan wang simpanan untuk membantu melunaskan bayaran tersebut. Ayah juga berkata kepada saya ayah bersedia menjadi penjamin sekiranya abg tidak membayar kembali wang tersebut.
Saya sudah meminta dan berbincang dengan abg untuk membayar kembali tetapi beliau berkeras mengatakan tidak akan membayar duit tersebut kerana beliau beranggapan duit itu adalah bantuan dan sumbangan kepadanya bukanlah pinjaman sedangkan saya menggunakan wang tersebut dari simpanan peribadi. Pada mulanya dia berkata seandainya dia meninggal nanti saya boleh datang menuntut kepada warisnya dan saya hanya akur untuk mengelakan perseteruan. Disebabkan sebelum ini tiada perjanjian bertulis, jadi saya sediakan surat tuntutan bertulis untuk mengelakan masalah dan pertikaian di masa depan. Akan tetapi setelah saya memberikan perjanjian bertulis dan meminta persetujuan darinya, dia malah melenting dan tidak mahu bekerjasama. Surat perjanjian untuk tuntutan hutang tersebut tidak ditandatangan olehnya. Dan lebih menyedihkan, saya baru kehilangan ayah tercinta. Kami sekeluarga sedang menguruskan faraid dan terpaksa hold memandangkan ada pertikaian dari pihak saya.
Soalan saya, adakah saya berhak menuntut pembayaran dari pusaka ayah kerana ayah yang sedia menjadi penjamin?. Atau adakah cara lain yang dapat menyelesaikan masalah ini secara baik dan damai. Mohon bantuan dan nasihatnya.
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, dalam Islam, hukum menjadi penjamin adalah harus dan sah. Tambahan pula, ianya dianggap mulia kerana membantu meringankan beban orang lain, namun ia membawa tanggungjawab berat. Penjamin wajib bertanggungjawab melunaskan hutang sekiranya peminjam culas atau gagal membayar, kerana penjamin berjanji untuk menanggung risiko tersebut. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Penjamin merupakan penanggung hutang. (Riwayat Abu Daud)
Oleh yang demikian, RM 10,000.00 hutang yang telah dipinjamkan kepada abang puan bolehlah diambil dari harta pusaka arwah ayah untuk melunaskan hutang tersebut kerana arwah ayah sudah berjanji untuk menjadi penjamin.
Sekian, terima kasih.